Skip to main content

Malaysia

Pusat data: Selangor laksana polisi 30 peratus rantaian bekalan tempatan - Amirudin

Amirudin berkata, dasar baharu itu menggariskan syarat jelas bagi mewajibkan pengendali pusat data mengintegrasikan vendor dan tenaga kerja tempatan ke dalam rantaian pembekalan mereka. - Gambar Astro AWANI
Amirudin berkata, dasar baharu itu menggariskan syarat jelas bagi mewajibkan pengendali pusat data mengintegrasikan vendor dan tenaga kerja tempatan ke dalam rantaian pembekalan mereka. - Gambar Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor menegaskan bahawa kemasukan pelaburan Pusat Data (Data Center) tidak boleh dibiarkan sekadar menjadi 'bangunan gergasi', yang menggunakan sumber air dan tenaga negeri, tanpa memberikan limpahan nilai ekonomi kepada industri tempatan.

Bagi menangani kebimbangan itu, Selangor mula mengorak langkah tegas dengan memperkenalkan 'Polisi 30 Peratus' yang akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, dasar baharu itu menggariskan syarat jelas bagi mewajibkan pengendali pusat data mengintegrasikan vendor dan tenaga kerja tempatan ke dalam rantaian pembekalan mereka.

Advertisement

Kenyataan tegas itu dizahirkan beliau dalam temu bual eksklusif bersama rancangan Investment Insider bersempena Selangor Investment and Industrial Park Expo (SPARK) di bawah persidangan SIBS 2026.

"Sebagai contoh pusat data, bermula tahun ini hingga lima tahun akan datang, kita akan mula melaksanakan secara perlahan-lahan dan berperingkat apa yang kita panggil sebagai Polisi 30 Peratus. 30 peratus ini bermaksud peralatan dan perkhidmatan pusat data mesti dilokalisasikan," kata beliau.

Advertisement

Langkah penyeragaman ini bertujuan membina keupayaan jangka panjang syarikat tempatan agar tidak kekal menjadi pemerhati luar dalam revolusi infrastruktur kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran awan.

"Jadi pusat data bukan sekadar bangunan besar yang menggunakan air dan tenaga kita, tetapi pada masa yang sama kita ada polisi untuk memastikan penyertaan PKS dan pekerja kita berjaya meningkatkan keupayaan serta kemahiran mereka untuk masa hadapan," tegas beliau.

Menurut Amirudin, model Polisi 30 Peratus ini bukan sahaja akan dikuatkuasakan di peringkat negeri Selangor, malah kerangka dasar tersebut turut dicadangkan untuk diguna pakai di peringkat persekutuan bagi seluruh Malaysia.

Pendekatan itu, katanya lagi, diambil bagi mengelakkan ketirisan sumber utiliti negeri, memandangkan pusat data memerlukan bekalan kuasa elektrik berkapasiti amat tinggi serta jutaan liter air bagi sistem penyejukan pelayan komputer.

Bagi mengimbangi penggunaan sumber berkenaan, Amirudin berkata, Selangor pada masa sama memperkukuh agenda kelestarian melalui pembangunan tenaga hijau serta pengurusan sisa bersepadu (WTE).

Menjelang tahun 2029, jelasnya lagi, Selangor disasarkan memiliki tiga loji Sisa-ke-Tenaga (WTE) yang mampu memproses 5,500 tan sisa harian negeri untuk dijana semula menjadi sumber tenaga elektrik hijau, di samping merangka garis panduan pelupusan sisa elektronik (e-waste).

Amirudin menegaskan bahawa transformasi Selangor sebagai hab digital serantau perlu bergerak seiring dengan tadbir urus mampan, di mana setiap pelaburan teknologi wajib menyumbang secara langsung kepada kemakmuran ekosistem usahawan domestik.

Must Watch Video

Advertisement