Skip to main content

Dunia

Trump pertahan MoU AS-Iran, bidas pengkritik

U.S. President Donald Trump takes questions from media at a press briefing at the White House, following a shooting incident during the annual White House Correspondents’ Association dinner, in Washington, D.C., U.S., April 25, 2026. REUTERS/Jonathan Ernst REFILE - ADDING LOCATION, DATE AND BYLINE
Trump (foto) menyifatkan pihak yang mempersoalkan ketegasannya sebagai tidak berasas, sambil mempertahankan pendekatan yang diambil oleh pentadbirannya. -Gambar fail/Reuters
Advertisement

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump membidas kritikan terhadap pentadbirannya susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara AS dan Iran.

Menerusi hantaran di platform Truth Social, Trump menyifatkan pihak yang mempersoalkan ketegasannya sebagai tidak berasas, sambil mempertahankan pendekatan yang diambil oleh pentadbirannya.

“Orang yang mengatakan saya tidak cukup tegas terhadap Iran, sedangkan pasaran saham mencatat rekod tertinggi dan harga minyak menurun — sama ada mereka cemburu atau tidak memahami situasi ini,” katanya.

Langkah itu diambil ketika beberapa penggubal undang-undang AS mempersoalkan keberkesanan MoU berkenaan, khususnya dalam mengekang program nuklear Iran serta keselamatan laluan Selat Hormuz.

Kritikan turut datang dari dalam parti Republikan sendiri.

Bekas Naib Presiden AS, Mike Pence berkata perjanjian tersebut dilihat sebagai pendekatan yang terlalu bertolak ansur dan tidak menjamin penghentian program nuklear Iran.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan bahawa MoU berkenaan tidak mengandungi komitmen jelas untuk menamatkan sokongan Iran terhadap kumpulan proksi di rantau Asia Barat.

“Saya tidak mempercayai Iran,” katanya dalam temu bual media.

Sementara itu, Ahli Kongres Thomas Massie mempersoalkan cadangan dana bernilai AS$300 bilion (kira-kira RM1.23 trilion) dalam rangka kerja perjanjian tersebut.

Menurut beliau, jumlah itu adalah jauh lebih besar berbanding peruntukan tahunan Kongres untuk pembangunan infrastruktur domestik.

Bagaimanapun, dokumen MoU menjelaskan bahawa dana berkenaan akan dibangunkan bersama rakan antarabangsa dan tidak dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan AS.

Senator Republikan Bill Cassidy pula menyifatkan perjanjian itu sebagai satu kesilapan besar dalam dasar luar negara, dengan mendakwa ia memberi kelebihan strategik kepada Iran.

Namun, terdapat juga sokongan dalam kalangan pemimpin Republikan.

Senator Lindsey Graham menyifatkan langkah Trump sebagai pendekatan pragmatik yang mampu menstabilkan ekonomi global serta mengurangkan ketidaktentuan pasaran tenaga.

 

Must Watch Video

Advertisement