awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
[TERKINI] Bekas PTD tiba di mahkamah, berdepan dua pertuduhan AMLATFPUAA
New Zealand teruskan pencarian mangsa selepas tanah runtuh melanda tapak perkhemahan
EU akan melabur di Greenland, bangunkan peralatan pertahanan sedia Artik - von der Leyen
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

Trump saman JPMorgan AS$5 bilion, dakwa akaun ditutup kerana tekanan politik

Agensi
Agensi
22/01/2026
23:30 MYT
Trump saman JPMorgan AS$5 bilion, dakwa akaun ditutup kerana tekanan politik
Trump (kiri) mendakwa, beliau cuba menghubungi Dimon secara peribadi selepas penutupan akaun-akaunnya bermula dan Dimon ketika itu didakwa memberi jaminan bahawa beliau akan “menyiasat perkara berkenaan” - namun tiada susulan dibuat. - Gambar AP
NEW YORK: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memfailkan saman bernilai AS$5 bilion (RM20.19 bilion) terhadap gergasi perbankan, JPMorgan Chase dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jamie Dimon dengan dakwaan bank itu menamatkan perkhidmatan perbankan kepadanya atas sebab politik selepas beliau meninggalkan White House pada Januari 2021.
Saman tersebut, yang difailkan di Mahkamah Daerah Miami-Dade, Florida mendakwa, JPMorgan menutup beberapa akaun Trump dan perniagaannya secara tiba-tiba pada Februari 2021 dengan hanya memberikan notis 60 hari tanpa sebarang penjelasan.
Menurut dokumen saman itu, tindakan tersebut memutuskan akses Trump dan perniagaannya kepada jutaan dolar, menjejaskan operasi mereka serta memaksa mereka membuka akaun baharu di institusi kewangan lain secara tergesa-gesa.
“JPMC menyahbank (Trump dan perniagaannya) kerana percaya arus politik ketika itu memihak untuk berbuat demikian,” menurut saman berkenaan.
Trump juga mendakwa, beliau cuba menghubungi Dimon secara peribadi selepas penutupan akaun-akaunnya bermula dan Dimon ketika itu didakwa memberi jaminan bahawa beliau akan “menyiasat perkara berkenaan” - namun tiada susulan dibuat.
Lebih jauh, pasukan guaman Trump mendakwa, JPMorgan telah meletakkan Trump dan syarikat-syarikatnya dalam “senarai hitam”, satu mekanisme dalaman yang didakwa digunakan bank tersebut dan institusi kewangan lain bagi menghalang pelanggan tertentu daripada membuka akaun pada masa hadapan.
Dalam satu kenyataan, JPMorgan menegaskan, saman itu “tidak berasas”, sambil menambah bahawa bank tersebut tidak menutup akaun atas sebab politik atau agama, tetapi atas faktor risiko undang-undang dan pematuhan.
Saman ini difailkan ketika hubungan antara White House dan Wall Street semakin tegang, termasuk cadangan Trump untuk menetapkan had kadar faedah kad kredit pada 10 peratus bagi mengurangkan kos pengguna - sesuatu yang dibantah JPMorgan sebagai antara pengeluar kad kredit terbesar di Amerika Syarikat.
Isu 'debanking' semakin menjadi kontroversi politik beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya dalam kalangan konservatif yang mendakwa bank-bank bertindak menyasarkan mereka atas alasan risiko reputasi.
Tindakan sedemikian pernah mencetuskan perdebatan nasional ketika pentadbiran Barack Obama dituduh menekan bank agar menghentikan perkhidmatan kepada kedai senjata api dan pemberi pinjaman harian di bawah inisiatif “Operation Choke Point.”
Trump dan sekutu-sekutunya turut mendakwa bank-bank mula memutuskan hubungan dengan mereka selepas serangan 6 Januari 2021 di Capitol, dengan menggunakan alasan “risiko reputasi.”
Setelah kembali ke White House, pentadbiran Trump telah mengarahkan pengawal selia kewangan supaya menghalang bank daripada menggunakan alasan tersebut bagi menolak perkhidmatan kepada pelanggan.
Dalam saman itu, Trump menuduh JPMorgan melakukan fitnah perdagangan serta menuduh Dimon sendiri melanggar Akta Amalan Tidak Adil dan Mengelirukan Florida.
JPMorgan dalam kenyataannya turut menyatakan mereka “kesal” kerana Trump mengambil tindakan undang-undang tersebut, namun menegaskan akaun ditutup semata-mata kerana faktor risiko undang-undang terhadap syarikat.
Ini bukan kali pertama Trump menyaman institusi kewangan atas dakwaan disingkirkan secara politik.
Pada Mac 2025, Organisasi Trump turut memfailkan saman terhadap syarikat kad kredit Capital One atas alasan yang hampir sama - dan kes itu masih berjalan di mahkamah. - Agensi
Topic Berkaitan
#Donald Trump
#Trump saman JPMorgan
#Jamie Dimon
#tekanan politik
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan