PUTRAJAYA: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah diarahkan untuk menjalankan siasatan berhubung satu sepanduk dengan terjemahan ayat al-Quran yang digunakan bagi mempromosikan budaya songsang dalam satu perarakan di ibu negara baru-baru ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan berkata JAWI diarah mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang susulan tular sepanduk dengan terjemahan ayat suci Al-Quran yang digunakan secara salah.
Advertisement
“Saya menegaskan sekeras-kerasnya bahawa perbuatan ini bukan sahaja mengguris maruah umat Islam apatah lagi di bulan Ramadan yang mulia ini, malah mencemar kemuliaan al-Quran kerana ditafsir jauh dari konteks serta makna sebenar ayat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menyeru semua pihak agar menghayati Al-Quran dengan tradisi keilmuan yang panjang dan tidak sewenang-wenangnya menterjemah mengikut nafsu sehingga menyesatkan dari maksud sebenar apatah lagi untuk menjadikan dalil budaya yang bertentangan dengan nilai Islam.
Sebelum ini, tular satu sepanduk di media sosial yang memaparkan terjemahan ayat al-Quran yang diselewengkan untuk menyokong agenda budaya songsang dalam satu perarakan di ibu negara.
-- BERNAMA