Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Trump dilapor sedia tamat perang tanpa buka semula Selat Hormuz

U.S. President Donald Trump looks on as he speaks to members of the media aboard Air Force One en route to Joint Base Andrews, Maryland, U.S., March 29, 2026. REUTERS/Elizabeth Frantz
Trump memilih untuk mengutamakan penamatan operasi ketenteraan mengikut jadual sambil menyerahkan isu selat tersebut kepada usaha diplomatik atau tindakan negara sekutu. - Gambar/ Reuters

PRESIDEN Amerika Syarikat Donald Trump dilaporkan menyatakan kepada para pembantunya bahawa beliau bersedia menamatkan operasi ketenteraan terhadap Iran walaupun Selat Hormuz masih kekal ditutup.

Menurut laporan berkenaan, Trump dipercayai mahu menamatkan kempen itu lebih awal dan menangguhkan usaha rumit membuka semula laluan strategik berkenaan kepada peringkat seterusnya, pada tarikh yang belum ditentukan, menurut laporan The Wall Street Journal (WSJ) yang dipetik Reuters.

Advertisement

Setakat ini, Reuters belum dapat mengesahkan maklumat itu secara bebas. 

Keputusan itu difahamkan dibuat selepas pentadbiran Trump menilai bahawa operasi memaksa pembukaan semula Selat Hormuz berisiko memanjangkan konflik melepasi jangka masa empat hingga enam minggu yang ditetapkan lebih awal. 

Penilaian tersebut juga mengambil kira kesukaran teknikal serta risiko diplomatik yang mungkin timbul. 

Laporan WSJ turut menyebut bahawa tindakan menangguhkan isu pembukaan semula Selat Hormuz memberi ruang kepada pentadbiran Trump untuk menumpukan kepada objektif operasi lain, termasuk melemahkan keupayaan tentera Iran dan menyasarkan infrastruktur misil negara itu. 

Walaupun serangan ketenteraan ke atas aset Iran diteruskan, keputusan untuk tidak meletakkan pembukaan selat sebagai syarat segera menamatkan perang dilihat sebagai perubahan strategik berbanding kenyataan lebih awal yang mendesak laluan maritim itu dibuka semula.

Selat Hormuz merupakan antara laluan penghantaran minyak terpenting dunia dan penutupannya memberi kesan besar terhadap pasaran tenaga global. 

Namun, menurut laporan itu, Trump memilih untuk mengutamakan penamatan operasi ketenteraan mengikut jadual sambil menyerahkan isu selat tersebut kepada usaha diplomatik atau tindakan negara sekutu. 

Pentadbiran AS juga dikatakan menilai bahawa operasi membuka semula selat mungkin memerlukan penglibatan tentera secara lebih besar, sesuatu yang cuba dielakkan oleh Trump ketika ini. 

Sebaliknya, Washington dijangka memberi tekanan diplomatik kepada Tehran supaya membenarkan perdagangan maritim berjalan semula. 

Jika usaha diplomatik gagal, menurut WSJ, AS berkemungkinan meminta negara Eropah dan sekutu Teluk untuk memimpin operasi membuka semula laluan strategik itu, manakala tindakan ketenteraan dijadikan pilihan terakhir. 

Laporan itu menambah bahawa pendekatan terbaharu Trump menandakan keutamaan pentadbiran beliau kini ialah menamatkan perang mengikut garis masa yang ditetapkan, sebelum memberi tumpuan kepada langkah lanjutan melibatkan Selat Hormuz.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dari Rumah Putih berhubung laporan berkenaan, manakala WSJ menyatakan bahawa maklumat tersebut diperoleh daripada beberapa pegawai pentadbiran yang enggan dinamakan. 


 

Must Watch Video