NEW YORK: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Selasa berkata pihaknya akan menggalakkan pembangunan kecerdasan buatan (AI) dan mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju teknologi tersebut secara selamat dan bertanggungjawab, sambil menolak usaha antarabangsa untuk mengawal selia AI, lapor Xinhua.
"AS menolak sepenuhnya sebarang percubaan untuk 'membentuk skim global' bagi mengawal kecerdasan buatan yang kini hangat diperkatakan," kata Trump dalam ucapannya semasa perbahasan umum sesi ke-81 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).
"Saya tidak akan menyekat pertumbuhan sesuatu yang bakal menjadi lebih besar daripada Revolusi Perindustrian," katanya.
Beliau menambah AS akan memantau AI dengan teliti menerusi Jabatan Kehakiman dan terus memimpin dunia dalam bidang tersebut secara selamat dan bertanggungjawab.
Trump juga mencadangkan agar istilah "kecerdasan buatan" digantikan dengan "kecerdasan super" (super intelligence).
Beberapa pemimpin industri AI dari AS baru-baru ini menggesa supaya pembangunan teknologi AI diperlahankan secara terkoordinasi, sambil memberi amaran berhubung kemungkinan teknologi itu menambah baik keupayaan diri sendiri serta risiko kehilangan kawalan ke atasnya.
Terdahulu pada Selasa, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres memberi amaran: "Manusia semakin banyak menyerahkan kuasa kepada mesin, dengan ejen AI yang bertindak di luar kawalan, serta senjata autonomi yang mematikan beralih daripada fiksyen sains kepada realiti ketenteraan."
Negara-negara yang menerajui revolusi teknologi AI mesti berkongsi maklumat mengenai risiko keselamatan yang timbul, kata Guterres.
Beliau menggesa langkah-langkah diambil untuk mengurus risiko AI, termasuk mewujudkan rangka kerja pelbagai hala bagi pengurusan risiko AI.
Semasa berucap dalam perbahasan umum sebelum Trump, Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva menggesa agar syarikat teknologi gergasi (Big Tech) dan kecerdasan buatan dikawal selia, serta memberikan amaran mengenai pembangunan teknologi tanpa peraturan, ketelusan atau batasan etika.
-- BERNAMA-XINHUA