INTERNATIONAL
Trump ucap tahniah kepada Carney, setuju bertemu dalam masa terdekat

Presiden Trump (kiri) telah menghubungi Perdana Menteri Carney untuk mengucapkan tahniah atas kemenangan beliau dalam pilihan raya umum negara itu dan kedua-dua pemimpin bersetuju untuk bertemu dalam masa terdekat.
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah menghubungi Perdana Menteri Kanada, Mark Carney untuk mengucapkan tahniah atas kemenangan beliau dalam pilihan raya umum negara itu dan kedua-dua pemimpin bersetuju untuk bertemu dalam masa terdekat.
Kanada dan AS dijangka memulakan rundingan baharu melibatkan hubungan ekonomi dan keselamatan susulan keputusan pilihan raya pada Isnin lalu.
Kempen pilihan raya itu dibayangi oleh dasar tarif perdagangan Trump serta kenyataan beliau yang berulang kali mempertikaikan kedaulatan Kanada - dengan kemenangan Parti Liberal pimpinan Carney dijangka membentuk kerajaan minoriti, menurut penyiar awam CBC.
Keputusan itu menjadikan tugas Carney lebih mencabar, khususnya untuk berunding dengan Trump dan menangani pelbagai isu domestik, kerana beliau perlu mendapatkan sokongan parti-parti lain untuk meluluskan undang-undang di Parlimen.Dalam panggilan pertama mereka sejak pilihan raya, pejabat Perdana Menteri pada Selasa memaklumkan, Trump telah menyampaikan ucapan tahniah kepada Carney.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa kedua-dua pemimpin “bersetuju mengenai kepentingan Kanada dan Amerika Syarikat untuk bekerjasama - sebagai negara berdaulat dan merdeka - demi manfaat bersama.”
Parti Liberal kini perlu bergantung kepada sokongan pihak lain untuk meluluskan rang undang-undang, dan berdepan kemungkinan tumbang sekiranya gagal dalam undi percaya di Dewan Rakyat.
Mereka dijangka mencari kerjasama dengan Parti Demokratik Baharu (NDP) dan Parti Bloc Québécois - dua parti yang sebelum ini pernah menyokong pentadbiran Liberal.
Setakat ini, Parti Liberal diramal memperoleh 169 kerusi - tiga kerusi kurang daripada majoriti mudah 172 yang diperlukan di Dewan Rakyat Kanada.
Namun pencapaian itu tetap dianggap sebagai kebangkitan dramatik bagi parti yang beberapa bulan lalu dilihat berdepan risiko kejatuhan.
Carney, bekas gabenor bank pusat Kanada dan United Kingdom, kekal sebagai Perdana Menteri selepas mengambil alih jawatan itu bulan lalu susulan peletakan jawatan Justin Trudeau.
Antara isu yang dijangka mendapat sokongan dua hala di Dewan Rakyat adalah langkah undang-undang untuk membantu pekerja dan industri yang terkesan akibat tarif AS - satu perkara yang disepakati hampir semua parti sepanjang kempen pilihan raya.
Pada Selasa, Ketua Bloc Québécois, Yves-Francois Blanchet menyatakan Carney berkemungkinan menikmati tempoh kestabilan politik di Dewan.
Beliau menyeru gencatan politik antara parti semasa rundingan perdagangan dengan AS, sambil menekankan rakyat mahukan kestabilan dalam suasana global yang tidak menentu.
“Ini bukan masa untuk mana-mana parti mengancam untuk menjatuhkan kerajaan,” katanya, sambil menjangkakan sekurang-kurangnya setahun tempoh kerjasama antara parti politik.
Namun beliau turut mengingatkan agar Carney tidak menekan Quebec dalam isu tertentu, sambil menegaskan bahawa kerjasama haruslah bersifat dua hala.
Sementara itu, White House dalam kenyataan pada hari sama berkata, kemenangan Carney tidak akan mengubah rancangan Trump untuk menjadikan Kanada “negeri ke-51 Amerika.”
Jurucakap Timbalan Setiausaha Akhbar, Anna Kelly dipetik sebagai berkata: “Pilihan raya ini tidak menjejaskan rancangan Presiden Trump untuk menjadikan Kanada negeri ke-51 yang paling dihargai oleh Amerika.”
Dalam wawancara bersama BBC, Carney menegaskan, Kanada layak menerima “rasa hormat” daripada AS dan hanya akan bersetuju menjalinkan kerjasama perdagangan dan keselamatan “mengikut terma kami.”
Beliau turut menyifatkan idea Kanada menjadi negeri AS sebagai “sesuatu yang tidak akan berlaku, sama sekali”.
Duta baharu AS ke Kanada, Pete Hoekstra dalam kenyataan video menyatakan komitmen untuk memperkukuh hubungan dua hala.
Carney dalam pada itu turut berikrar untuk menangani pelbagai isu domestik, termasuk krisis perumahan serta melaksanakan pemotongan cukai bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Perdana Menteri itu juga perlu bersiap sedia untuk Sidang Kemuncak G7 yang akan berlangsung Jun ini di wilayah Alberta, Kanada selaku tuan rumah.
Dalam pilihan raya pada Isnin, Parti Liberal dan Parti Konservatif mencatat peningkatan ketara dalam undian nasional berbanding empat tahun lalu.
Parti Konservatif berada di tempat kedua dan dijangka meraih 144 kerusi, sekali gus menjadi Pembangkang Rasmi.
Peningkatan sokongan kepada dua parti utama itu datang dengan mengorbankan parti-parti kecil, terutamanya NDP yang kehilangan kira-kira 12 mata peratusan dalam undian popular.
Peratusan keluar mengundi bagi pilihan raya kali ini ialah 67 peratus.
Kedua-dua pemimpin - Pierre Poilievre dari Parti Konservatif dan Jagmeet Singh dari NDP - tewas di kerusi masing-masing, dengan Singh mengumumkan peletakan jawatan sebagai ketua parti berhaluan kiri itu. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami