Skip to main content
Advertisement

Dunia

Trump ulang ancaman terhadap Iran ketika rundingan di New York berlangsung

US President Donald Trump speaks next to Jordan's King Abdullah II and Qatar's Emir Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani during a multilateral meeting with leaders from the Gulf Cooperation Council, which includes the United Arab Emirates (UAE), Qatar, Bahrain, Kuwait, and Oman, during the 81st United Nations General Assembly (UNGA) in New York City, US, September 22, 2026. REUTERS/Kylie Cooper
Trump (tengah), bercakap di samping Raja Jordan, Raja Abdullah II (kiri), dan Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, semasa mesyuarat pelbagai hala bersama para pemimpin Majlis Kerjasama Teluk (GCC). - Foto REUTERS
Advertisement

NEW YORK: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sekali lagi mengeluarkan amaran keras terhadap Iran ketika wakil kanan kedua-dua negara mengadakan pertemuan di New York dalam usaha mencari jalan menamatkan konflik yang berlarutan di rantau Asia Barat.

Trump, ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), berkata beliau sedang mempertimbangkan pilihan sama ada mencapai perjanjian dengan Tehran atau mengambil tindakan lebih tegas terhadap Republik Islam itu.

Media antarabangsa melaporkan beliau turut mengulangi ancaman untuk "menghapuskan" Iran sekiranya tiada penyelesaian dicapai.

Bagaimanapun, beberapa jam selepas ucapan tersebut, Trump mengesahkan bahawa satu pertemuan selama kira-kira tiga jam telah berlangsung antara pegawai AS dan delegasi Iran di luar sidang PBB.

Delegasi AS diketuai utusan khas Steve Witkoff, manakala Iran diwakili Menteri Luar, Abbas Araghchi.

Trump menyifatkan pertemuan itu sebagai "sangat baik" dan "produktif", sambil memaklumkan satu lagi rundingan dijadualkan dalam masa terdekat.

Media kerajaan Iran turut mengesahkan pertemuan antara Witkoff dan Araghchi berlangsung di New York.

Menurut laporan itu, Tehran bersetuju menghadiri rundingan tersebut bagi menyampaikan syarat-syaratnya untuk membuka semula Selat Hormuz kepada lalu lintas perkapalan antarabangsa.

Antara tuntutan yang dikemukakan Iran termasuk penamatan sekatan dan kepungan maritim AS, pembebasan aset Iran yang dibekukan serta penghentian konflik di beberapa medan yang dikaitkan dengan sekutu Tehran di rantau itu.

Sementara itu, pihak tentera Iran dan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) menolak kenyataan Trump sebagai retorik politik, sambil menyifatkan ugutan terbaru Washington sebagai cerminan kebuntuan yang dihadapi AS dalam konflik berkenaan.

Pertemuan di New York dilihat sebagai antara usaha diplomatik paling penting antara kedua-dua pihak sejak beberapa bulan kebelakangan ini, ketika tekanan antarabangsa semakin meningkat untuk menamatkan perang yang menjejaskan keselamatan serantau dan perdagangan global.

Witkoff bagaimanapun enggan memperincikan kandungan perbincangan, namun berkata beliau "berasa positif" mengenai perkembangan rundingan tersebut.

Konflik antara AS, Israel dan Iran yang kini memasuki bulan ketujuh telah menjejaskan kestabilan Asia Barat serta menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan laluan perdagangan penting di Selat Hormuz, yang menjadi nadi penghantaran minyak dunia.

 

 

Must Watch Video

Advertisement