Trump ulangi jemputan kepada pemimpin dunia untuk sertai Perjanjian Abraham

Trump menegaska Perjanjian Abraham berpotensi menjadi pemangkin utama bagi kestabilan dan perpaduan di Asia Barat. - Gambar fail/Reuters
BAITULMAQDIS: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memuji negara-negara yang berani mengetepikan perbezaan dan menjalin hubungan dengan Israel menerusi Perjanjian Abraham.
Dakwa Trump, negara-negara yang menyertai perjanjian itu kini menjadi antara yang paling berjaya di rantau Asia Barat serta menikmati manfaat ekonomi yang luar biasa.
“Saya benar-benar berharap dan bermimpi bahawa bersama-sama, Perjanjian Abraham akan menjadi seperti yang kita harapkan.
"Empat negara itu sangat berani melaksanakannya pada peringkat awal, dan setiap satunya telah menerima manfaat kewangan yang luar biasa,” katanya semasa berucap sempena lawatan ke Knesset, Parlimen Israel pada Isnin.Trump berkata, negara-negara yang menandatangani perjanjian itu kekal komited meskipun berdepan cabaran di rantau berkenaan.
“Jika anda perhatikan, walaupun dalam tempoh sukar yang baru kita lalui, semua negara itu kekal sebagai ahli Perjanjian Abraham...mereka berjaya dengan luar biasa. Saya ingin mengucapkan terima kasih dan anda tahu siapa (yang dimaksudkan),” ujarnya.
Beliau menambah, komitmen berterusan negara-negara tersebut bukan sahaja didorong oleh kesetiaan, tetapi juga hasil daripada manfaat ekonomi yang diperoleh melalui penyertaan dalam perjanjian itu.
“Mereka kekal bukan sahaja kerana kesetiaan, malah kerana ia memberi manfaat ekonomi yang besar. Mereka memperoleh banyak keuntungan sebagai ahli perjanjian ini,” katanya lagi.
Trump turut menyeru lebih banyak negara di rantau Arab dan Islam supaya menyertai Perjanjian Abraham tanpa mengira perbezaan politik atau ideologi.
“Saya berharap semua negara lain, ya, setiap negara yang sedang kita (AS) dekati, akan segera menyertai. Tanpa alasan, tanpa permainan politik. Sertai sahaja. Ia akan menjadi asas kepada keamanan yang hebat,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa perjanjian itu berpotensi menjadi pemangkin utama bagi kestabilan dan perpaduan di Asia Barat.
“Ia benar-benar akan menyatukan rantau ini melebihi apa yang pernah dibayangkan sesiapa pun,” katanya lagi.
Trump turut menegaskan bahawa kekayaan negara-negara di rantau itu sepatutnya disalurkan kepada pendidikan, kesihatan, industri dan pembangunan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan, dan bukan lagi kepada peperangan atau senjata.
Perjanjian Abraham yang dimeterai di Washington pada tahun 2020 menyaksikan Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Sudan dan Maghribi menormalkan hubungan diplomatik dengan Israel, dengan Amerika Syarikat bertindak sebagai pengantara utama.
Untuk rekod, Malaysia, Iran dan Syria antara negara yang secara jelas menolak perjanjian tersebut atas dasar tidak mengiktiraf kedaulatan rejim Zionis Israel.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami