Calon parti pembangkang utama Taiwan, Tsai Ing-wen mencatat sejarah bakal menjadi Presiden wanita pertama negara itu selepas parti pemerintah Kuomintang (KMT) mengaku kekalahan parti itu dalam pilihan raya yang berlangsung pada Sabtu.

“Saya minta maaf... Kita telah kalah. KMT telah tewas dalam pilihan raya. Kita tidak cukup bekerja keras dan gagal memenuhi harapan pengundi,” kata calon KMT, Eric Chu di hadapan penyokong parti itu di ibu pejabat di Taipei.

Pengiraan undi kini masih diteruskan namun jumlah undi yang dipaparkan oleh siaran langsung di kaca televisyen menunjukkan Tsai memperolehi undian besar, sekitar 60 peratus, berbanding hanya 30 peratus buat Chu.

Sokongan buat Tsai memuncak selepas pengundi melahirkan rasa kurang senang dengan pendekatan presiden Ma Ying-Jeou dari KMT terhadap China. Beliau akan meletakkan jawatan selepas dua penggal memerintah.

Ketika pertumbuhan ekonomi negara itu dilihat tidak menunjukkan peningkatan, ramai yang kecewa apabila perjanjian perdagangan yang dimeterai dengan China tidak memberi faedah kepada rakyat Taiwan.