QUITO: Seorang wanita Ecuador yang dikatakan 'mati hidup semula' selepas dimasukkan di dalam keranda, kini benar-benar disahkan meninggal dunia.

Bella Montoya, 76, pertama kali disahkan meninggal dunia oleh doktor di sebuah hospital di bandar Babahoyo, minggu lalu.

Namun dia dikejarkan kembali ke hospital selepas orang ramai yang sedang berkabung terdengar dia mengetuk kerandanya.

Selepas tujuh hari dalam rawatan rapi, kementerian Kesihatan Ecuador mengesahkan Montaya meninggal dunia Jumaat lalu akibat strok.

"Kali ini ibu saya benar-benar meninggal dunia. Kehidupan saya tidak akan sama," kata anaknya, Gilbert Barbera.

Montoya dimasukkan ke dalam keranda dan dibawa ke rumah pengebumian di Babahoyo, barat daya ibu kota Quito, selepas diisytiharkan meninggal dunia pada 9 Jun.

Namun, Montoya bangun dan mengetuk penutup keranda selepas lima jam berada di dalamnya.

Montoya dikatakan mengalami keadaan yang dipanggil catalepsy, yang menyebabkan seseorang mengalami sawan, tidak sedarkan diri dan badan menjadi kaku.

Satu suruhanjaya pakar telah ditubuhkan oleh Kementerian Kesihatan Ecuador untuk mengkaji kes tersebut.