Rakyat termasuk pelajar Malaysia di luar negara diminta menunjukkan protes terbuka kepada Kerajaan Korea Utara termasuk menyertai kempen-kempen di media sosial.

Koordinator Sekretariat WeMalaysia Kuala Lumpur Mohd Asrol Md Jailani berkata, ia tanda solidariti 11 rakyat Malaysia, termasuk dua peserta Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) selain tiga pegawai dan kakitangan Kedutaan Malaysia serta enam anggota keluarga mereka yang tidak dibenarkan meninggalkan Korea Utara.

"Justeru, tindakan Kerajaan Korea Utara mengheret 11 rakyat Malaysia sebagai 'tebusan' setelah menuduh kerajaan Malaysia berkonspirasi dengan kuasa asing dalam kes pembunuhan Kim Jong Nam adalah tindakan yang amat melampau dan jijik.

"Tindakan tersebut adalah tidak berperikemanusiaan dan melanggar batasan hak asasi manusia serta rukun-rukun diplomasi antarabangsa.

"Tindakan kebudak-budakkan Korea Utara itu jelas dibuat bagi membuli dan menekan kepimpinan kerajaan dan rakyat Malaysia, yang mungkin dianggap lemah dari mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

BACA: Kuala Lumpur teliti apa kehendak sebenar Pyongyang - PM

BACA: TPM yakin Korea Utara akan bertindak rasional

Pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan memberi jaminan untuk melakukan segala yang terdaya dalam memastikan keselamatan rakyat Malaysia di Korea Utara.

Tegasnya, fokus utama ialah memastikan mereka pulang ke tanah air dengan selamat.

Dalam pada itu kata Mohd Asrol, WeMalaysia juga ingin mengingatkan regim pimpinan Kim Jong Un bahawa Malaysia merupakan negara yang merdeka dan berdaulat selain kesediaan 30 juta rakyat Malaysia sanggup bermandi darah demi mempertahankan kedaulatan tanah air yang tercinta.

"WeMalaysia juga menyokong penuh tindakan balas pihak kerajaan dalam menangani isu ini berlandaskan undang-undang antarabangsa. Ketegasan Datuk Seri Najib dan kerajaan membuktikan bahawa negara ini tidak gentar dan tidak mudah diperkotak-katikkan oleh mana-mana kuasa asing," jelasnya.

Pada Rabu, Datuk Seri Najib memberitahu, Malaysia masih belum memutuskan hubungan dengan Korea Utara bagi membolehkan usaha rundingan dibuat dengan Pyongyang susulan larangan keluar rakyat Malaysia di negara berkenaan.

Jelas beliau, Kuala Lumpur juga sedang meneliti apa kehendak sebenar Pyongyang.

WeMalaysia merupakan sebuah gerakan terbuka yang digerakkan pelajar Malaysia di luar negara. Sehingga kini, WeMalaysia mempunyai cawangan di Amerika Syarikat (AS), Australia dan United Kingdom (UK).