KUALA LUMPUR: Selepas mengharamkan tayangan filem "Barbie" kerana didakwa memaparkan babak sensitif tentang kedaulatan Laut China Selatan, kini Vietnam telah mengarahkan Netflix untuk menghalang penstriman drama China bertajuk "Flight to You" di negara itu, atas alasan yang sama.

Portal berita Independent yang memetik Jabatan Pawagam Vietnam berkata, kerajaan Vietnam tegas membantah sebarang babak yang cuba memaparkan sembilan garis putus-putus (nine-dash line) yang mencabuli kedaulatan Vietnam dan beberapa negara ASEAN lain di Laut China Selatan.

Untuk rekod, sembilan garis putus-putus merupakan perkara yang kompleks berkenaan tuntutan China terhadap beberapa bahagian di Laut China Selatan, yang mana kawasan tersebut turut dituntut oleh Malaysia dan Filipina.

BACA: Vietnam minta Netflix, FPT keluarkan filem China siar babak 9 garis putus 

Jabatan Pawagam Vietnam dalam kenyataan tersebut berkata, mereka telah menilai semula kesemua 39 episod kandungan drama tersebut, dan telah mengesan peta kontroversi itu dalam sembilan episod.

Episod ke-18 sebagai contoh memaparkan seorang karaktor dalam drama tersebut berkata – “Satu hari nanti peta ini akan mencapai banyak tempat di serata dunia”.

Walaupun syarikat pengelola kandungan di Vietnam, FPT telah mengaburkan babak tersebut, namun jabatan itu bertegas mahu drama tersebut diharamkan sepenuhnya selepas mendakwa ia mengandungi kandungan yang mencabar kedaulatan Vietnam.

Baru-baru ini, filem blockbuster 'Barbie" diharamkan di Vietnam kerana babak yang memaparkan peta menunjukkan Laut China Selatan -- sebuah kawasan perairan yang secara strategik penting dan dituntut oleh China dan beberapa negara jirannya, yang kebanyakannya mempunyai hubungan rapat dengan Amerika Syarikat (AS).

Warner Bros pada Jumaat mempertahankan filem itu dengan mendakwa peta itu tidak lebih daripada "lukisan krayon seperti kanak-kanak" dan jelas tiada kaitan dengan sebarang kenyataan politik.