Kabinet Turki pada Selasa menasihati parlimen negara itu untuk melanjutkan tempoh darurat selama tiga bulan lagi, lapor agensi berita China Xinhua.

Pengisytiharan darurat itu menyasarkan anggota dan kumpulan pengganas berbanding rakyat yang hidup dalam keadaan aman, kata Timbalan Perdana Menteri Bekir Bozdag pada sidang akhbar selepas mesyuarat kabinet.

Usul pelanjutan tempoh darurat telah dibincang dan diluluskan pada mesyuarat Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan.

Usul itu telah diluluskan sebanyak enam kali sejak percubaan rampasan kuasa pada Julai 2016.

Pelanjutan ketujuh tempoh darurat akan berkuat kuasa pada 19 April.

-- BERNAMA