DUNIA
Turkiye akan adakan mesyuarat tergempar OIC berhubung rancangan Israel duduki Gaza

Turkiye akan mengadakan mesyuarat tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi membincangkan rancangan Israel untuk menduduki sepenuhnya Semenanjung Gaza, kata Menteri Luar Turkiye Hakan Fidan pada Sabtu. - Gambar fail/REUTERS
ISTANBUL: Turkiye akan mengadakan mesyuarat tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi membincangkan rancangan Israel untuk menduduki sepenuhnya Semenanjung Gaza, kata Menteri Luar negara itu pada Sabtu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Ringkasan AI
- Turkiye akan memanggil mesyuarat tergempar OIC bagi membincangkan rancangan Israel menduduki sepenuhnya Semenanjung Gaza.
- Menteri Luar Hakan Fidan menegaskan Turkiye dan Mesir menolak rancangan itu serta mengecam dasar peluasan dan pembunuhan beramai-ramai Israel.
- Turkiye telah menghantar 102,000 tan bantuan kemanusiaan ke Gaza dengan kerjasama Mesir dan terus mempertahankan hak rakyat Palestin.
Beliau menambah: "Turkiye dan Mesir akan terus menentang sebarang senario sedemikian."
Menyentuh usaha kemanusiaan Turkiye, Fidan berkata: "Sehingga kini, kami telah menghantar kira-kira 102,000 tan bantuan kemanusiaan untuk saudara-saudara kami di Gaza. Kami berterima kasih kepada Mesir atas kerjasama rapat dalam menyampaikan bantuan itu."
Israel berdepan kecaman yang semakin hebat berhubung pembunuhan beramai-ramai di Gaza yang mengorbankan lebih 61,000 orang sejak Oktober 2023. Kempen ketenteraan itu memusnahkan wilayah berkenaan dan menyebabkan kematian akibat kelaparan serta kebuluran.
Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya Yoav Gallant atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga berdepan kes pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung perang di wilayah itu.
Mengulangi pendirian Ankara mengenai penubuhan negara Palestin, Fidan berkata: "Palestin adalah milik rakyat Palestin. Sebarang usaha untuk mengusir rakyat Palestin dari tanah mereka adalah batal dan tidak sah serta pasti akan gagal."
"Kami akan mempertahankan undang-undang antarabangsa dan nilai-nilai kemanusiaan dengan sekuat-kuatnya terhadap dasar pembunuhan beramai-ramai Israel," tambahnya.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami