ISTANBUL: Majlis pecah tanah pembinaan kilang pembuatan baharu bateri automotif yang terletak di barat laut Turkiye dirasmikan pada Isnin dengan dihadiri Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Pembinaan kilang dikenali dengan nama SIRO itu hasil usaha sama antara Farasis Energy yang berpangkalan di China dan pengeluar kereta elektrik Turki Togg, lapor Xinhua.

Kilang baharu itu akan mula beroperasi pada 2026 dan apabila siap kelak kemudahan berkenaan menjadi pusat bersepadu pembuatan bateri, modul dan pek Lithium-ion Nickel Manganese Cobalt.

"Kami sedang mengorak langkah ke arah menjadikan Turkiye sebagai pemain utama dalam teknologi bateri.

"Turkiye akan menjadi satu daripada negara yang mampu membangun dan mengeluarkan sel bateri," kata Erdogan dalam ucapan perasmiannya.

Beliau berkata pelaburan itu akan menyuntik US$33 bilion kepada KDNK negara dalam tempoh 10 tahun dan mewujudkan 7,000 peluang pekerjaan.

"Kami memberikan sokongan dengan menawarkan 30 bilion lira (US$1.55 bilion) dalam pelaburan tetap dan kami akan terus menyokong sesiapa sahaja yang menyumbang kepada ekonomi Turkiye, sama ada pihak asing atau domestik," kata beliau.

Kemudahan SIRO terletak bersebelahan dengan Kampus Teknologi Togg yang telah mula mengeluarkan bateri untuk kenderaan elektrik pertama Turkiye.

Diasaskan pada 2018 dan disokong oleh kerajaan, Togg menjadi lambang projek berprestij Erdogan untuk mengurangkan pergantungan Turkiye kepada pembuat kereta asing.

Farasis Energy mengendalikan dua kemudahan pengeluaran di wilayah Ganzhou dan Zhenjiang di China.

-- BERNAMA