Pemerintah Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Sabtu telah mengeluarkan arahan untuk menghentikan boikot ke atas Israel, seiring langkah Amerika Syarikat yang berusaha meredakan ketegangan antara dua kerajaan itu.

Agensi berita AP melaporkan, langkah itu diambil atas arahan Presiden UAE, Sheikh Khalifa Zayed Al Nahyan, yang juga merupakan Emir Abu Dhabi.

Langkah itu, menurut agensi berita rasmi UAE iaitu WAM, memberi kebenaran kepada orang Israel, serta syarikat-syarikat Israel untuk menjalankan perniagaan di UAE.

Selain itu, WAM berkata, ia juga membenarkan UAE menjalankan perdagangan dan membeli barang buatan Israel.

“Pelaksanaan perintah itu merupakan sebahagian daripada usaha UAE untuk mengembangkan hubungan diplomatik dan perniagaan dengan Israel,” kata WAM.

Laporan itu menyebut, perintah itu membolehkan usaha mewujudkan pelan untuk lebih banyak kerjasama, yang akhirnya akan menuju ke arah hubungan bilateral dengan merangsang pertumbuhan ekonomi dan mempromosi inovasi teknologi.

Penerbangan komersial pertama kapal terbang Israel, El Al, dijangka tiba di Abu Dhabi pada Isnin.

Media difahamkan, penerbangan itu akan membawa beberapa Pegawai Kanan Amerika Syarikat dan Israel, termasuk menantu Presiden Donald Trump, Jared Kushner.