TASHKENT: Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerusi Akademi Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana dan Keusahawanan Malaysia (MASMED) memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa melalui program Inisiatif Keusahawanan Budaya dan Pelancongan Kreatif Malaysia-Uzbekistan.
Penolong Naib Canselor (Keusahawanan) UiTM Prof Madya Dr Badrul Isa berkata program dilaksanakan dengan kerjasama Jawatankuasa Pelancongan Uzbekistan dan kedutaan republik berkenaan di Malaysia itu bertujuan memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai keusahawanan dalam sektor pelancongan.
Beliau berkata program itu turut memberi peluang kepada pelajar mengasah kemahiran dalam mempromosikan destinasi pelancongan Uzbekistan menerusi penghasilan kandungan kreatif.
Katanya seramai 15 penuntut daripada Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka; Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media; serta Fakulti Filem, Teater dan Animasi dipilih menyertai program mobiliti antarabangsa selama 14 hari di Uzbekistan dari 17 hingga 30 Ogos ini.
“Program ini memberi peluang kepada mahasiswa mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari di UiTM seperti fotografi, videografi, suntingan digital dan animasi dalam menghasilkan kandungan kreatif bagi mempromosikan sektor pelancongan Uzbekistan.
“Pada masa sama, mereka dapat menimba pengalaman antarabangsa dan memahami bagaimana industri kreatif boleh dimanfaatkan sebagai medium keusahawanan yang mempunyai nilai komersial tinggi,” katanya ketika ditemui Bernama pada Forum Media Antarabangsa “Tamadun Islam: Satu Perspektif Baharu-Penemuan Baharu“ di Pusat Tamadun Islam di sini, Rabu.
Badrul berkata sepanjang berada di Uzbekistan, pelajar dan pensyarah UiTM turut menyertai beberapa siri konsultasi serta sesi pembentangan bersama beberapa universiti rakan di negara berkenaan yang memfokuskan perkongsian kepakaran, kemahiran dan industri kreatif serta akademik.
Katanya peserta juga akan mengadakan pameran fotografi secara berkala di beberapa lokasi terpilih di Malaysia dengan kerjasama Kedutaan Uzbekistan di Kuala Lumpur, yang bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam bidang keusahawanan tetapi turut mempromosikan lokasi pelancongan Uzbekistan.
Beliau berkata program Inisiatif Keusahawanan Budaya dan Pelancongan Kreatif Malaysia-Uzbekistan yang bermula bulan ini sehingga Ogos tahun depan itu turut merangkumi pelbagai aktiviti susulan termasuk pameran kreatif, penyelidikan bersama serta promosi pelancongan Uzbekistan di Malaysia.
“Sebagai sebahagian daripada aktiviti program tersebut, satu pameran mini hasil karya fotografi peserta UiTM akan diadakan di Kamoliddin Behzod National Institute of Art and Design pada esok (27 Ogos) bagi mempamerkan keunikan budaya dan destinasi pelancongan Uzbekistan yang dirakam sepanjang berada di sini,” katanya.
Selain itu, Badrul berkata UiTM juga sedang merancang untuk memeterai beberapa memorandum persefahaman dengan institusi pengajian tinggi di Uzbekistan dalam tempoh setahun ini bagi memperluaskan kerjasama akademik, pembangunan keusahawanan pelajar, penyelidikan dan pembangunan bakat.
-- BERNAMA