KETIKA dunia mengharapkan penawar kepada vaksin COVID-19, kajian terkini pula memperlihatkan sesuatu yang amat dibimbangi seluruh pelusuk masyarakat dunia.

Data klinikal terbaharu menunjukkan vaksin COVID-19 dikesan kurang efektif di Afrika Selatan berbanding negara-negara lain yang telah menjalani ujian vaksin sama.

Ia sekali gus menimbulkan kebimbangan bahawa wabak yang telah membunuh jutaan individu itu boleh mencari “cara yang cepat” untuk melawan keberkesanan vaksin COVID-19.

Memetik laporan media antarabangsa, syarikat bioteknologi Amerika Syarikat (AS) Novavax melaporkan walaupun vaksin keluaran syarikat itu hampir 90 peratus berkesan dalam ujian klinikal di Britain, namun ia menunjukkan penurunan kepada 57 peratus di Afrika Selatan.

Jelas laporan itu lagi, hampir semua jangkitan yang dianalisis oleh syarikat di Afrika Selatan melibatkan varian B.1.351 yang muncul di negara itu pada akhir tahun lalu, dan telah merebak ke AS serta sekurang-kurangnya 30 negara lain.

Bahkan, vaksin Novavax 89 peratus berkesan dalam percubaan terhadap varian pertama yang dikesan di United Kingdom (UK), dikenali sebagai B.1.1.7.

Sementara itu, ujian makmal menunjukkan vaksin yang diluluskan di AS – masing-masing dari Pfizer dan BioNTech – juga menimbulkan tindak balas imun yang rendah terhadap varian tersebut.

Sebelum ini, vaksin tersebut yang diuji di AS terhadap varian sama menunjukkan keberkesanan 72 peratus.

Selain itu, syarikat Johnson&Johnson pada Jumaat juga melaporkan vaksin syarikat itu 72 peratus berkesan mencegah wabak tersebut di AS berbanding 66 peratus di Amerika Latin dan 57 peratus di Afrika Selatan.

Keadaan ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penyelidiik bahawa keberkesanan vaksin kurang efektif berdasarkan kepada jenis varian.

“Ia jelas bahawa keberkesanan vaksin semakin kurang terhadap mutasi yang berbeza.

“Kita dapat melihat bahawa (vaksin COVID-19) akan dicabar (oleh varian atau mutasi berbeza),” kata pakar penyakit berjangkit AS, Dr Anthony Fauci.

Bagaimanapun, Novavax memberi amaran bahawa kajian di Afrika Selatan hanya membabitkan 4,400 pesakit – jumlah yang terlalu kecil untuk dijadikan ukuran kepada keberkesanan vaksin tersebut.