LONDON: United Kingdom melaporkan penambahan sebanyak 36,660 kes baharu COVID-19 dan 50 lagi kematian dalam tempoh 24 jam yang lepas.

Angka itu meningkat berbanding 34,471 jangkitan dan enam kematian yang dilaporkan semalam.

Ini merupakan hari ketujuh berturut-turut dengan jumlah kes melebihi 30,000.

Angka kematian hari ini juga adalah tertinggi sejak 9 April, yang merekodkan 60 kematian.

Sejak wabak itu bermula, UK telah mencatat sebanyak 128,481 kes kematian.

Seramai 54,296 orang menerima dos pertama vaksin COVID pada hari Isnin, menjadikan jumlah keseluruhan mencecah 45.9 juta.

Angka keseluruhan mereka yang telah divaksin sepenuhnya kini ialah 34.97 juta.

Data terbaharu daripada Jabatan Kesihatan juga menunjukkan 3,236 orang dimasukkan ke hospital sejak tujuh hari lalu, meningkat sebanyak 53.7 peratus.

Sementara itu, para saintis mendesak kerajaan UK untuk bersiap sedia dengan perancangan kecemasan memandangkan peningkatan jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital dan ia dijangka berterusan sehingga akhir bulan Ogos.

Persatuan Perubatan British (BMA) juga telah memberi amaran bahawa keputusan kerajaan meneruskan pelonggaran sekatan dan penutupan bermula 19 Julai adalah tindakan tidak bertanggungjawab dan berisiko membawa akibat yang sangat buruk.