DUNIA
UK pecat Duta ke AS, Peter Mandelson susulan kaitan dengan Jeffrey Epstein

Kerajaan United Kingdom memecat Peter Mandelson (gambar) sebagai Duta ke Amerika Syarikat susulan pendedahan baharu mengenai hubungannya dengan penjenayah seks yang telah meninggal dunia, Jeffrey Epstein. - Gambar Reuters
LONDON: Kerajaan United Kingdom (UK) memecat Peter Mandelson sebagai Duta ke Amerika Syarikat (AS) susulan pendedahan baharu mengenai hubungannya dengan penjenayah seks yang telah meninggal dunia, Jeffrey Epstein.
Menurut Pejabat Luar, Komanwel dan Pembangunan (FCDO), keputusan itu dibuat selepas Perdana Menteri, Keir Starmer meminta Menteri Luar menarik balik pelantikan Mandelson berikutan bukti baharu daripada e-mel yang ditulis sendiri oleh beliau.
“E-mel tersebut menunjukkan kedalaman dan tahap hubungan Peter Mandelson dengan Jeffrey Epstein adalah berbeza sama sekali daripada apa yang diketahui ketika beliau dilantik,” jelas FCDO pada Khamis.
Mandelson, seorang tokoh veteran Parti Buruh yang pernah memainkan peranan penting dalam kejayaan parti itu di bawah pimpinan Tony Blair, disiasat hebat selepas sebuah buku sambutan hari jadi Epstein didedahkan, mengandungi catatan tulisan tangan yang merujuk Epstein sebagai “sahabat karib saya.”Pada Rabu, akhbar The Sun mendedahkan e-mel yang menunjukkan Mandelson menasihati Epstein supaya “berjuang untuk pembebasan awal” sebelum dihukum penjara 18 bulan pada 2008 atas kesalahan melanggan pelacur bawah umur.
“Saya amat menghargai anda… saya masih sukar memahami perkara ini. Ia tidak mungkin berlaku di Britain,” tulis Mandelson dalam e-mel tersebut.
Pendedahan itu dibuat selepas Jawatankuasa Pengawasan dan Reformasi Dewan Perwakilan AS mendedahkan album hari jadi ke-50 Epstein yang dikumpul pada 2003.
Dalam album itu, Mandelson menulis nota tangan menggambarkan Epstein sebagai “sahabat karib saya.”
Epstein dipercayai telah menyalahgunakan ratusan kanak-kanak perempuan sepanjang kariernya sebagai ahli kewangan berprofil tinggi, dengan kesalahan pertama berkaitan penderaan seks bawah umur dikesan sejak 2006.
FCDO menyifatkan kenyataan Mandelson yang mempersoalkan sabitan pertama Epstein dan menganggap ia “salah” sebagai maklumat baharu yang tidak pernah diketahui sebelum ini.
Dalam sesi Parlimen pada Rabu, pemimpin Parti Konservatif, Kemi Badenoch, membangkitkan isu itu, namun Starmer mempertahankan keputusan kerajaan dengan menegaskan proses sewajarnya telah dipatuhi ketika pelantikan Mandelson.
Mandelson, 71, sebelum ini dua kali dipaksa meletakkan jawatan sebagai menteri pada 1998 dan 2001 kerana dakwaan salah laku.
Walaupun beberapa kali kembali ke arena politik, kariernya sering dibayangi kontroversi, termasuk hubungan dengan ahli perniagaan Rusia, Oleg Deripaska.
Fail berkaitan kes Epstein turut mencetuskan dilema politik buat Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Trump sebelum ini mendesak semua fail dibuka semasa kempen pemilihan semula, namun, kini berdepan tuduhan menulis surat hari jadi kepada Epstein.
Demokrat di Dewan Perwakilan mendedahkan surat itu pada Isnin lalu sebagai sebahagian daripada album hari jadi, mengandungi lakaran seorang wanita bogel dengan tandatangan Trump pada bahagian alat sulit.
Bagaimanapun, White House menafikan kesahihan surat berkenaan.
Trump kini turut mengambil tindakan undang-undang berbilion dolar terhadap The Wall Street Journal, yang mula mendedahkan kewujudan surat itu pada Julai lalu. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami