MANILA: Kira-kira 5,000 petugas media dari seluruh dunia hadir bagi membuat liputan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 yang berlangsung dari Ahad hingga Rabu ini.
Pusat Media Antarabangsa (IMC) yang beroperasi di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, dilengkapi pelbagai kemudahan bagi memastikan kelancaran tugasan petugas media sepanjang persidangan berkenaan.
IMC menyediakan dewan media, bilik taklimat dan ruang rakaman audio, selain stesen kesihatan dan kesejahteraan yang menawarkan urutan tradisional Filipina dikenali sebagai hilot.
Laporan GMA News yang memetik Penolong Setiausaha Jabatan Pelancongan Filipina, Ina Zara Loyola, berkata kemudahan itu diwujudkan bagi memperkenalkan pengalaman kesihatan dan kesejahteraan berteraskan tradisi tempatan kepada delegasi antarabangsa.
Beliau berkata jabatan itu turut bekerjasama dengan Persatuan Kesejahteraan Filipina bagi mengendalikan stesen berkenaan.
"Selain itu, stesen minuman Filipina mengetengahkan kopi tempatan dari Maguindanao, Sultan Kudarat, Sagada di Mountain Province, Tanay di Rizal, Bukidnon dan Batangas," katanya.
Pengunjung turut berpeluang menikmati minuman koko dari Davao serta air kelapa segar, sekali gus memperkenalkan kepelbagaian produk tempatan negara itu kepada delegasi.
Dalam usaha mempromosikan sektor pelancongan, Jabatan Pelancongan Filipina turut menawarkan lawatan ke beberapa lokasi bersejarah termasuk Museo del Galeon, Fort Santiago, Manila Cathedral dan Centro de Turismo Intramuros kepada petugas media secara percuma.
Hab Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (MSME) Filipina pula mempamerkan pelbagai produk buatan tempatan termasuk makanan, pakaian dan barangan hiasan.
Menerusi kerjasama dengan Perbadanan Pos Filipina (PhilPost), delegasi juga berpeluang mendapatkan setem serta menghantar poskad secara percuma.
Sementara itu, Hab Gastronomi Serantau turut mengetengahkan kepelbagaian sajian tradisional dari tiga wilayah utama negara itu, iaitu Luzon, Visayas dan Mindanao.