awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Pembekal utama bot bagi ribuan penyeberangan Selat Inggeris dipenjarakan
Bangladesh gesa ICC ambil serius kebimbangan keselamatan Piala Dunia T20
Pentadbiran Trump tarik diri daripada puluhan organisasi antarabangsa
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

UK, Perancis sedia hantar tentera ke Ukraine jika rundingan damai tercapai

Agensi
Agensi
06/01/2026
23:20 MYT
UK, Perancis sedia hantar tentera ke Ukraine jika rundingan damai tercapai
Dari kiri Zelenskyy, Macron dan Starmer berjabat tangan selepas menandatangani deklarasi penghantaran pasukan ke Ukraine di Istana Elysee, Paris, pada Isnin. - Gambar Reuters
PARIS: Britain dan Perancis menandatangani deklarasi hasrat untuk menghantar tentera ke Ukraine sekiranya perjanjian damai dengan Rusia dimeterai, umum Perdana Menteri United Kingdom (UK), Sir Keir Starmer.
Selepas rundingan bersama sekutu Ukraine di Paris, Starmer berkata, kedua-dua negara akan menubuhkan “hab ketenteraan” di seluruh Ukraine bagi menghalang pencerobohan pada masa depan.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron kemudian menambah, ribuan tentera mungkin dikerahkan.
Sekutu turut bersetuju secara prinsip mengenai jaminan keselamatan kukuh untuk Ukraine dan mencadangkan Amerika Syarikat (AS) mengetuai pemantauan gencatan senjata.
Namun isu utama - sempadan wilayah - masih menjadi perbincangan.
Rusia berulang kali memberi amaran bahawa kehadiran tentera asing di Ukraine akan menjadi “sasaran sah”.
Setakat ini, Kremlin belum mengulas pengumuman yang dibuat di ibu kota Perancis.
Dalam sidang media bersama, Starmer menegaskan: “Kami menandatangani deklarasi hasrat untuk menghantar pasukan ke Ukraine sekiranya perjanjian damai tercapai. Ini komitmen penting untuk bersama Ukraine dalam jangka panjang.”
Beliau menjelaskan, langkah itu membuka jalan kepada kerangka undang-undang bagi operasi tentera UK, Perancis dan rakan sekutu di tanah Ukraine – termasuk mengawal ruang udara dan laut serta memperkukuh semula angkatan tentera negara itu.
Starmer turut mengesahkan London akan menyertai usaha pengesahan gencatan senjata yang diketuai AS.
Ketua perunding AS, Steve Witkoff, menekankan jaminan keselamatan yang kukuh dan komitmen ekonomi adalah kunci kepada keamanan berkekalan di Ukraine.
“Kami hampir selesai merangka protokol keselamatan supaya rakyat Ukraine tahu apabila perang ini berakhir, ia berakhir untuk selama-lamanya,” katanya.
Utusan Khas AS, Jared Kushner pula menegaskan, selepas perjanjian dimeterai, Ukraine perlu diyakinkan bahawa “mekanisme sebenar” tersedia untuk mengelak perang berulang.
Zelensky: ‘Langkah besar, tapi belum cukup’
Sementara itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyz, menyifatkan rundingan Paris sebagai “langkah besar ke hadapan”, namun menegaskan, ia hanya mencukupi jika benar-benar membawa kepada penamatan perang.
Beliau berharap jaminan pemantauan AS, kehadiran pasukan multinasional di Ukraine dan sokongan senjata tambahan mampu meyakinkan rakyat bahawa usaha damai adalah pilihan terbaik – berbanding satu lagi musim dingin penuh korban.
Namun Zelenskyy mengakui, kemajuan sebenar memerlukan persetujuan Rusia, yang kekal berdiam diri mengenai usaha diplomatik ini.
Presiden Vladimir Putin diketahui menentang kehadiran pasukan antarabangsa di kawasan pertikaian dan enggan menghentikan kemaraan jika objektif perang Moscow belum tercapai.
Isu wilayah kekal penghalang
Setakat ini, Rusia menguasai kira-kira 20 peratus wilayah Ukraine, termasuk 75 peratus Donetsk dan hampir keseluruhan Luhansk – yang membentuk kawasan industri Donbas.
Putin menuntut Ukraine berundur sepenuhnya dari Donbas, manakala Zelensky menolak sebarang penyerahan wilayah.
Rundingan damai yang digerakkan AS sebelum ini mencetuskan kontroversi kerana dilihat memihak kepada Rusia, memaksa Ukraine dan sekutu Eropah mengemukakan pelan baharu bulan lalu.
Zelenskyy berkata, perjanjian damai kini “90 peratus siap” dan baki 10 peratus akan menentukan “nasib keamanan, nasib Ukraine dan Eropah.” - Agensi
Topic Berkaitan
#konflik Rusia-Ukraine
#rundingan damai
#Volodymyr Zelenskyy
#tentera Britain
#tentera Perancis
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan