IPOH: Pelajar Malaysia yang berada di kawasan konflik di Asia Barat dinasihatkan supaya mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan dan segera melaporkan diri kepada kedutaan Malaysia di negara terlibat bagi memastikan keselamatan mereka terus terjamin.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abdul Halim berkata pelajar dan rakyat Malaysia yang terjejas perlu mengikuti pelan serta prosedur kecemasan yang telah digerakkan oleh perwakilan negara.
Advertisement
“Saya percaya perwakilan dan juga kedutaan kita di Iran dan di negara-negara sekeliling yang terlibat dengan konflik sudah pun bersedia dengan pelan-pelan kecemasan.
“Saya harap pelajar-pelajar atau mana-mana rakyat Malaysia sebenarnya yang terkandas dapat ikut setiap arahan dan dapat melaporkan diri dengan sesegera mungkin,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Apple Education Classroom di Politeknik Ungku Omar di sini hari ini.
Beliau berkata Kerajaan Malaysia sentiasa mengutamakan keselamatan setiap rakyat yang berada di kawasan konflik di rantau berkenaan.
“Untuk rekod saya kira sejak daripada dahulu sampai sekarang, alhamdulillah kedutaan kita sentiasa ada jalan dan ikhtiar untuk pastikan keselamatan warga Malaysia di luar negara, di mana-mana tempat yang sedang berlaku konflik itu sentiasa terjamin.
“Saya faham kalau sekarang ini dengan ruang udara yang terkesan dan sebagainya jadi akan berlaku kesulitan,” katanya.
Mengulas kebimbangan ibu bapa, Adam Adli berkata mereka disaran sentiasa berhubung dengan Kementerian Luar serta pihak berkaitan untuk mendapatkan maklumat terkini.
Beliau berkata selalunya keutamaan akan diberikan kepada negara Malaysia berikutan berkat dan hasil kerjasama hubungan diplomatik yang baik terjalin dengan negara-negara terlibat.
“Kita ada hubungan yang baik dengan negara-negara yang sedia membantu, jadi itu jaminan yang kita boleh berilah kepada ibu bapa dan juga ahli keluarga yang khuatir terhadap keselamatan terutama sekali pelajar-pelajar kita di luar negara,” katanya.
Semalam, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir memaklumkan sebanyak 1,936 pelajar Malaysia yang menuntut di enam negara Asia Barat disahkan berada dalam keadaan selamat meskipun terkesan dengan ketegangan di rantau berkenaan.
Jumlah pelajar mengikut negara ialah Iran (enam), Qatar (tiga), Kuwait (sembilan), Emiriah Arab Bersatu (21), Arab Saudi (135) dan Jordan (1,762).
-- BERNAMA