LONDON: Kerajaan Britain mengumumkan pada Khamis pakej 31 sekatan baharu terhadap Rusia ketika UK meningkatkan tekanan ekonomi menjelang musim sejuk, lapor Anadolu Ajansi.
Dalam satu kenyataan, Pejabat Luar UK memaklumkan 31 langkah baharu itu termasuk mengenakan sekatan terhadap “kapal dalam armada bayangan LNG, rangkaian penyebaran maklumat palsu Kremlin serta individu yang melakukan penyeksaan terhadap orang awam dan indoktrinasi kanak-kanak.”
“Langkah itu diambil ketika Rusia melancarkan lebih 3,100 dron berkuasa jet ke Ukraine pada September, mengatasi rekod buruknya ketika perang pada Ogos,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, sekatan berkenaan turut melibatkan lapan individu yang terbabit dalam “penahanan sewenang-wenangnya, penyeksaan dan layanan buruk” terhadap orang awam Ukraine.
Seramai tujuh lagi individu turut dikenakan sekatan kerana peranan mereka dalam “indoktrinasi dan ketenteraan” kanak-kanak Ukraine, termasuk kanak-kanak yang dihantar keluar dari Ukraine oleh pihak berkuasa Rusia.
“Kami menyasarkan kedua-dua hasil yang membantu mengekalkan pencerobohan Rusia serta pelaku jenayah mengerikan terhadap orang awam Ukraine, termasuk kanak-kanak. UK tidak akan berganjak dalam sokongan kami terhadap Ukraine,” kata Menteri Eropah Lord Wood of Anfield dalam kenyataan itu.
Kerajaan UK berkata langkah baharu itu menunjukkan keazaman negara itu, bersama rakannya untuk memastikan pihak yang bertanggungjawab terhadap “pencerobohan negara Rusia” ke atas Ukraine dipertanggungjawabkan, mengehadkan hasil yang menyokong peperangan serta mempertahankan keselamatan Ukraine, UK dan Eropah.
“Walaupun UK tidak mencari konfrontasi dengan Rusia, selagi (Presiden Vladimir) Putin memilih untuk meneruskan perang yang tidak masuk akal dan kejam ini, sokongan UK terhadap Ukraine akan kekal tidak berbelah bahagi,” menurut kenyataan itu.
--BERNAMA-ANADOLU