Skip to main content

Malaysia

Kerajaan teliti dua model pelesenan platform e-dagang - Fahmi

Fahmi berkata SKMM akan memberi tumpuan kepada aspek kemudaratan dalam talian, manakala KPDN mengawal selia aspek kepenggunaan. - Foto BERNAMA
Fahmi berkata SKMM akan memberi tumpuan kepada aspek kemudaratan dalam talian, manakala KPDN mengawal selia aspek kepenggunaan. - Foto BERNAMA

Ringkasan AI

  • Kerajaan sedang meneliti dua model pelesenan untuk kawal selia platform e-dagang melibatkan SKMM dan KPDN.
  • SKMM fokus kepada kemudaratan dalam talian, manakala KPDN kawal aspek kepenggunaan serta penggubalan RUU E-Dagang menjelang 2027.
  • Platform e-dagang perlu selaras maklumat dengan agensi penguatkuasaan untuk siasatan, termasuk penurunan produk terlarang dalam tempoh satu hingga 24 jam.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti pelaksanaan dua model pelesenan bagi mengawal selia platform e-dagang dengan melibatkan bidang kuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata SKMM akan memberi tumpuan kepada aspek kemudaratan dalam talian, manakala KPDN mengawal selia aspek kepenggunaan.

Menurutnya, Kementerian Komunikasi dan SKMM bersedia menggunakan kaedah pelesenan yang diperlukan bagi memastikan platform e-dagang mematuhi undang-undang negara, termasuk menangani penjualan barangan terlarang.

Advertisement

"Kita telah teliti dan melihat kepada undang-undang dan mungkin ke arah dua ‘licensing model’ yang mana pihak MCMC melesenkan untuk membantu memastikan perkara berkaitan kemudaratan dalam talian dapat diatasi oleh platform e-dagang manakala daripada segi kepenggunaan, itu yang akan dikawal pihak KPDN," katanya.

Beliau berkata demikian ketika selepas menghadiri Bengkel Antara Agensi Mengenai Pengurusan Barangan dan Perkhidmatan Terlarang Dalam Talian anjuran SKMM, di sini pada Ahad. 

Advertisement

Fahmi berkata, pendekatan itu turut mengambil kira usaha KPDN menggubal Rang Undang-Undang (RUU) E-Dagang yang dijangka dibentangkan menjelang pertengahan 2027.

Bengkel kali pertama itu menghimpunkan lebih 13 platform e-dagang bersama agensi penguatkuasaan dan jabatan kerajaan bagi menyelaraskan tindakan terhadap penjualan produk yang melanggar undang-undang.

Selain itu, persetujuan turut dicapai berhubung penyelarasan maklumat yang perlu dibekalkan platform kepada agensi penguatkuasaan bagi membantu siasatan dan tindakan undang-undang, termasuk prosiding mahkamah.

Mengulas tindakan terhadap penjualan barangan terlarang, Fahmi memberi contoh penjualan vape dalam talian yang mengandungi dadah, yang akan berada di bawah seliaan agensi berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, SKMM pula akan membantu memastikan kandungan atau penyenaraian produk berkenaan diturunkan dalam tempoh ditetapkan, iaitu seawal satu jam dan maksimum 24 jam bagi barangan yang dikategorikan ekstrem seperti dadah.

Beliau berkata, platform e-dagang antarabangsa termasuk Alibaba dan Temu turut memberikan kerjasama baik dalam bengkel berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi menggalakkan platform e-dagang menyertai Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia (Content Forum), badan kawal selia kendiri yang dipacu industri di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, kerjasama antara agensi penguatkuasaan perlu diperkukuh menerusi perkongsian maklumat dan data bagi memastikan tindakan dapat dilaksanakan secara lebih terselaras.

Must Watch Video

Advertisement