KYIV: Ukraine mahu menggerakkan sehingga 500,000 orang anggota tentera tambahan dalam menghadapi perang dengan Rusia yang sudah berlanjutan selama dua tahun, dedah Presiden Volodymyr Zelensky.

Pada sidang akhbar di Kyiv, beliau berkata, komandernya sedang mencari "450,000 hingga 500,000 individu" untuk dikerahkan sebagai anggota tentera, sambil mengakui, ini merupakan isu "sensitif" dan menelan belanja yang sangat tinggi.

Zelensky menegaskan, beliau memerlukan butiran lanjut sebelum menyokong langkah itu, namun, dalam masa sama membayangkan bahawa 500,000 askar sudah berada di hadapan.

Dalam perkembangan sama, sidang media akhir tahun Presiden Zelensky telah diadakan di ibu negara Ukraine pada Selasa dengan masa dan tempat dirahsiakan daripada orang awam.

Bahkan, wakil media Ukraine dan asing yang dijemput telah diberikan butiran lanjut dalam surat pengesahan mereka.

Muncul dalam pakaian gaya tenteranya, pemimpin Ukraine itu ditanya pelbagai soalan sepanjang dua jam sidang media berlangsung.

Beliau mendedahkan bahawa komander tentera tertinggi Ukraine telah "bercadang untuk menggerakkan tambahan 450,000 hingga 500,000 individu" anggota dalam usaha memerangi perang negara itu.

Zelensky turut mengakui, jumlah tambahan tentera yang diperlukan negara itu merupakan "angka yang sangat serius".

"Saya perlukan perincian: Apa yang akan berlaku kepada tentera Ukraine yang berjuta-juta? Apa yang akan berlaku kepada mereka yang telah mempertahankan negara kita selama dua tahun? Kami mempunyai isu penggiliran dan cuti. Ia sepatutnya menjadi rancangan yang komprehensif," jelasnya.

Kenyataan itu dikeluarkan beliau berikutan kekurangan bantuan diterima daripada sekutunya, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU).

Anggota Kongres di AS dari parti Republik sudah mula menyekat pakej ketenteraan bernilai AS$60 bilion untuk Ukraine awal bulan ini.

Minggu ini, wakil White House dan Jabatan Negara berkata, AS merancang satu lagi pakej bantuan ketenteraan ke Ukraine - tetapi ia mempunyai keupayaan terhad untuk menghantar lebih banyak bantuan selepas itu melainkan Kongres bertindak.

Penarikan sokongan AS diikuti dengan tindakan Hungary menyekat perjanjian bantuan kewangan EU €50 bilion minggu lalu.

Pemimpin EU, bagaimanapun berkata, Ukraine tidak akan dibiarkan tanpa sokongan.

Ukraine berhadapan masalah kekurangan peluru kerana negara itu terus memerangi tentera Rusia yang menduduki susulan pencerobohan berskala penuh Moscow pada Februari 2022.

Kawasan serangan balas Kyiv terhenti pada permulaan musim sejuk dan terdapat kebimbangan bahawa Rusia boleh mengalahkan Ukraine.

Dalam masa sama, Wanita Pertama Ukraine, Olena Zelenska dalam wawancara bersama BBC pada awal bulan memberi amaran bahawa rakyat Ukraine berada dalam "bahaya yang nyata" serta dibiarkan mati tanpa sokongan dari Barat.

Presiden Rusia, Vladimir Putin pula mengeluarkan kenyataan bahawa Moscow akan meneruskan pencerobohannya serta berikrar semua matlamatnya akan tercapai.

Pemimpin Kremlin itu juga berkata, seramai 617,000 askar Rusia sedang mengambil bahagian dalam apa yang disifatkan Moscow sebagai "operasi ketenteraan khas."

Bagaimanapun, beliau mengakui angkatan tentera Rusia mempunyai masalah dengan sistem pertahanan udara dan komunikasi dan perlu meningkatkan pengeluaran dron.

Sementara itu, Presiden Zelensky, menolak sebarang cadangan untuk menggerakkan kaum wanita sebagai angkatan pertahanan negara.

Apabila ditanya oleh Jessica Parker dari BBC sama ada Ukraine sudah boleh menjangka mula kalah dalam peperangan itu, Zelensky dalam nada tegas berkata: "Tidak."

Dalam sidang taklimat kepada wartawan, Zelensky turut menggariskan perancangan Ukraine merangkumi hal-hal berikut:

• Ukraine berupaya menghasilkan sejuta dron pada 2024.

• Beliau mempunyai "hubungan kerja" dengan komander tertinggi tentera Ukraine, Valeriy Zaluzhnyi, sekali gus menafikan laporan keretakan hubungan antara kedua mereka.

• Rundingan damai dengan Rusia pada masa ini tidak dapat dilaksanakan serta menekankan beliau akan berusaha memulihkan sepenuhnya sempadan Ukraine yang diiktiraf antarabangsa, termasuk Crimea.

Semasa keseluruhan acara itu, presiden Ukraine berusaha untuk membuat keputusan yang yakin - tetapi kadang-kadang dia kelihatan tegang dan tersinggung apabila didesak mengenai laporan rasuah dalam kalangan pegawai kerajaan dan penggubal undang-undang Ukraine.  - BBC