INTERNATIONAL
Umat Islam Indonesia sambut Aidilfitri dengan meriah, penuh kesederhanaan

Umat Islam di Indonesia menyambut Aidilfitri dengan penuh kesederhanaan di bawah kepimpinan Presiden Prabowo Subianto, yang menekankan perpaduan sosial dan solidariti. -Reuters
JAKARTA: Umat Islam di Indonesia menyambut Hari Raya Aidilftri bersama keluarga serta rakan dan taulan pada Isnin dalam suasana gembira serta penuh harapan di bawah kepimpinan Presiden Prabowo Subianto.
Ringkasan AI
- Umat Islam di Indonesia menyambut Aidilfitri dengan penuh kesederhanaan di bawah kepimpinan Presiden Prabowo Subianto, yang menekankan perpaduan sosial dan solidariti.
- Prabowo bersama Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka dan anggota Kabinet menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Istiqlal dan mengadakan majlis rumah terbuka di Istana Merdeka.
- Kira-kira 200 rakyat Malaysia di Jakarta menunaikan solat sunat Aidilfitri dan menikmati jamuan di kompleks kedutaan Malaysia.
Dalam perutusan Aidilfitri pertamanya, beliau menyarankan agar rakyat Indonesia memperkukuhkan perpaduan dan bekerja ke arah masa depan yang lebih baik serta sejahtera.
"Saya mengajak seluruh rakyat Indonesia di mana pun berada untuk menjadikan Hari Raya Aidilfitri ini sebagai kekuatan dalam memperkukuh perpaduan bangsa, memperkuat solidariti sosial dan membangun masa depan yang lebih adil, makmur dan beretika," katanya.
Prabowo turut mengucapkan Selamat Hari Raya kepada umat Islam di Indonesia dan seluruh dunia, sambil menekankan kepentingan perayaan ini selepas sebulan berpuasa.
"Aidilfitri adalah waktu untuk saling memaafkan, mengeratkan hubungan dan meneguhkan kembali komitmen untuk menjadi lebih baik, sabar dan peduli terhadap masyarakat," katanya, sebelum mengakhiri perutusan dengan permohonan maaf kepada semua.
Pagi ini, Prabowo bersama Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka dan anggota Kabinet menyertai ribuan umat Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Istiqlal, yang terletak di tengah kota metropolitan.
Beliau kemudian meraikan masyarakat umum, diplomat asing dan serta orang kenamaan di majlis rumah terbuka di Istana Merdeka dari 9 pagi hingga 12 tengah hari yang menjadi simbol memperkukuh hubugan erat antara pemimpin dan rakyat.
Sementara itu, kira-kira 200 rakyat Malaysia yang terdiri daripada ekspatriat dan petugas kedutaan menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri sebelum menikmati jamuan di dewan pelbagai guna di kompleks kedutaan terletak di Jakarta bahagian selatan.
Turut hadir Duta Besar ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin dan Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN, Datin Sarah Al Bakri Devadason.
Mereka kemudiannya dijamu dengan nasi beriani, lemang, sate, teh tarik serta lain-lain juadah oleh pihak kedutaan dan petugas-petugasnya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami