Skip to main content

Dunia

UNESCO kutuk serangan maut AS-Israel terhadap sekolah perempuan di Iran

 Israel strike on a school in Minab
Pengeboman pada Sabtu membunuh sekurang-kurangnya 150 orang dan mencederakan hampir 100 yang lain, dengan kebanyakan mangsa dipercayai pelajar. - Gambar/ Reuters

ISTANBUL: Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada Ahad mengutuk serangan peluru berpandu yang memusnahkan sebuah sekolah rendah perempuan di bandar Minab di selatan Iran, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Menurut UNESCO menerusi kenyataan di media sosial, serangan itu adalah pelanggaran serius undang-undang antarabangsa ketika keganasan serantau semakin berleluasa.  

Advertisement

Ia memaklumkan pengeboman pada Sabtu membunuh sekurang-kurangnya 150 orang dan mencederakan hampir 100 yang lain, dengan kebanyakan mangsa dipercayai pelajar.

Agensi itu memberi amaran bahawa sekolah ialah ruang yang dilindungi di bawah undang-undang kemanusiaan, menekankan bahawa "serangan terhadap institusi pendidikan membahayakan pelajar dan guru serta menjejaskan hak untuk pendidikan."

UNESCO menyertai badan PBB dan pegawai kanan lain, termasuk Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, dalam mengecam kedua-dua serangan ketenteraan yang berterusan dan serangan balas Iran di seluruh bahagian Timur Tengah.

Pemenang Nobel Keamanan dan Utusan Keamanan PBB Malala Yousafzai berkata di platform syarikat media sosial Amerika Syarikat X bahawa dia "patah hati dan terkejut" atas serangan itu, sambil menambah "pembunuhan orang awam, terutamanya kanak-kanak, adalah tidak wajar, dan saya mengutuknya dengan tegas."

Beliau menyeru agar keganasan dihentikan, menyatakan bahawa "semua negara dan pihak mesti melaksanakan kewajipan mereka di bawah undang-undang antarabangsa untuk melindungi orang awam dan melindungi sekolah. Setiap kanak-kanak berhak untuk hidup dan belajar dengan aman."

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found