SHAH ALAM: Polis menahan seorang wanita warga asing bagi membantu siasatan penemuan satu mayat lelaki di sebuah kediaman di Klang, dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S. Vijaya Rao, mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat lelaki warga asing pada 3.15 petang semalam di kediaman yang sama.
Advertisement
Beliau berkata wanita berusia 32 tahun itu, ditahan selepas penemuan mayat tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Motif kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham antara mangsa dan suspek. Siasatan lanjut masih dijalankan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan atau menjejaskan ketenteraman awam,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menggugat keamanan masyarakat mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
-- BERNAMA