Skip to main content

Dunia

Universiti Oxford uji vaksin baharu susulan wabak ebola

FILE PHOTO: Medical workers dressed in personal protective equipment (PPE) disinfect their equipment at an Ebola treatment centre during a ceremony to present recovery certificates to patients at the Rwambara General Reference Hospital in Bunia, eastern Democratic Republic of Congo, June 16, 2026. REUTERS/Gradel Muyisa Mumbere/File Photo
Universiti Oxford akan menguji vaksin baharu bagi menentang virus maut Ebola, susulan penularan wabak itu di Republik Demokratik Congo (DRC). - Foto REUTERS
Advertisement

LONDON: Universiti Oxford akan menguji vaksin baharu bagi menentang virus maut Ebola, susulan penularan wabak itu di Republik Demokratik Congo (DRC), lapor PA Media/dpa.

Saintis di universiti berkenaan berjaya membangunkan dengan pantas vaksin terhadap virus Ebola jenis Bundibugyo dan kini akan menilai tahap keselamatan serta tindak balas imun vaksin itu terhadap 50 individu dewasa sihat berusia antara 18 hingga 55 tahun di United Kingdom (UK).

Bagi menyokong "pelancaran segera kajian dan perkembangan calon vaksin ke peringkat penilaian klinikal", sebanyak 620,000 dos vaksin ChAdOx1 BDBV telah disimpan sebagai stok simpanan untuk kegunaan pada masa hadapan.

Sebanyak 4,000 dos bagi tujuan penyelidikan turut dibekalkan untuk ujian yang dijalankan di Oxford.

Penyelidik juga sedang bekerjasama dengan rakan di Uganda sebagai persediaan menjalankan ujian klinikal di Afrika.

Sukarelawan akan dipantau selama setahun, namun saintis menjangkakan mereka dapat mengetahui dalam tempoh singkat sama ada vaksin itu mampu memberikan perlindungan yang baik.

Vaksin baharu itu menggunakan teknologi yang sama seperti vaksin COVID-19 Oxford/AstraZeneca, sekali gus membolehkan ia dibangunkan dalam tempoh beberapa minggu.

Ketua penyiasat saintifik kajian itu, Profesor Teresa Lambe berkata: "Wabak Ebola Bundibugyo yang sedang berlaku terus memusnahkan kehidupan komuniti yang terjejas, sekali gus menekankan keperluan mendesak terhadap vaksin dan rawatan yang berkesan.

"Pasukan kami telah bertungkus-lumus bersama rakan kongsi global membangunkan vaksin ChAdOx BDBV, sekali gus membuktikan bagaimana kerjasama antarabangsa membolehkan tindak balas pantas terhadap wabak yang berkembang dengan cepat.

"Pencapaian ini diperoleh hanya 57 hari selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak itu sebagai kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan dunia."

Pengarah Eksekutif Kesiapsiagaan dan Tindak Balas di Coalition for Epidemic Preparedness Innovations (CEPI), Dr Nicole Lurie berkata: "Wabak Bundibugyo yang membawa maut kini merupakan wabak Ebola ketiga terbesar yang pernah direkodkan dan jumlah jangkitan terus meningkat.

"Usaha Universiti Oxford memajukan calon vaksin Bundibugyo sehingga bersedia memasuki ujian klinikal Fasa Satu dalam tempoh beberapa minggu merupakan satu pencapaian penting dalam usaha menangani wabak itu.

"Setiap langkah yang membawa kita lebih hampir kepada vaksin yang selamat dan berkesan akan memperkukuh keupayaan kita melindungi komuniti yang terdedah, menyelamatkan nyawa dan mengawal penularan wabak ini."

-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa

 

Must Watch Video

Advertisement