NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres memberi amaran bahawa Agensi Kerja dan Bantuan PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) tidak boleh diganti.

Beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Britain, Jerman dan Jepun telah menggantung pembiayaan kepada UNRWA.

Guterres telah mengetuai rundingan dengan negara penderma dalam usaha mengembalikan semula pembiayaan.

"Tiada organisasi lain yang mempunyai kehadiran lebih bermakna di Gaza dalam situasi ini. Tiada organisasi lain yang boleh menggantikannya sekarang," kata Guterres pada taklimat media pada Khamis.

Guterres merujuk kepada keberkesanan kos UNRWA dan mempertahankan mengapa ia adalah organisasi terbaik untuk terus menyampaikan bantuan ke Gaza, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).

"Kos UNRWA jauh lebih rendah daripada kos agensi lain atas sebab sejarah. Gaji yang dibayar oleh UNRWA adalah satu pertiga daripada gaji yang dibayar oleh UNICEF atau WFP atau organisasi PBB yang lain.

"Jadi sebarang percubaan penggantian, itu tidak mungkin," kata Gutterres.

-- BERNAMA