Utusan AS bertemu Netanyahu ketika Israel terus menyerang Gaza

Menurut Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza, lebih 480 rakyat Palestin terbunuh dan 1,321 lagi cedera akibat serangan Israel sejak 11 Oktober. - Foto fail/AP
TEL AVIV: Utusan Amerika Syarikat (AS), Steve Witkoff, berkata beliau bersama rakan sejawatnya, Jared Kushner, telah mengadakan perbincangan yang disifatkan sebagai “konstruktif” dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, ketika Israel meneruskan pengeboman maut ke atas Semenanjung Gaza yang dikepung.
Dalam kenyataan ringkas pada Ahad, Witkoff berkata perbincangan “positif” itu memberi tumpuan kepada “kemajuan berterusan dan perancangan pelaksanaan Fasa 2 Pelan 20 Perkara Presiden Trump untuk Gaza”, yang sedang dimajukan oleh AS dan Israel dalam “perkongsian rapat”.
Beliau menambah bahawa “isu-isu serantau yang lebih luas” turut dibincangkan dalam pertemuan pada Sabtu itu, dipercayai merujuk kepada ketegangan yang semakin meningkat antara AS dan Iran serta spekulasi bahawa Washington dan Tel Aviv mungkin melancarkan serangan terhadap Iran, seperti yang berlaku semasa perang 12 hari pada Jun lalu.
Sementara itu, Israel terus mengebom Gaza walaupun telah bersetuju dengan gencatan senjata dalam perang yang disifatkan sebagai genosid, dengan hampir setiap hari melanggar perjanjian 10 Oktober yang diusahakan oleh AS.
Sumber perubatan berkata sekurang-kurangnya tiga rakyat Palestin terbunuh dan ramai lagi cedera sepanjang Ahad akibat serangan Israel.
Melaporkan dari Bandaraya Gaza, wartawan Al Jazeera, Hani Mahmoud, berkata bunyi tembakan dan bedilan tentera Israel dari bahagian timur Gaza hampir tidak berhenti sepanjang hari.
Di utara Gaza, sumber tempatan di kem pelarian Jabalia melaporkan serangan dron ke atas sebuah kemudahan perubatan yang terletak berhampiran apa yang dikenali sebagai “garisan kuning” yang memisahkan kawasan kawalan Israel dan Palestin.
Kenderaan tentera Israel turut melepaskan tembakan berat di timur Jabalia dan menembak peluru artileri ke beberapa kawasan bandar itu.
Jumlah korban sebenar masih belum dapat dipastikan.
“Situasi ketika ini sangat sukar dan tidak selamat untuk paramedik serta anggota Pertahanan Awam Palestin memasuki kawasan tersebut,” kata Mahmoud.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza, lebih 480 rakyat Palestin terbunuh dan 1,321 lagi cedera akibat serangan Israel sejak 11 Oktober.
Secara keseluruhan, serangan Israel sejak 7 Oktober 2023 telah mengorbankan 71,657 orang dan mencederakan 171,399 yang lain di Gaza.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

