WASHINGTON DC:Pentadbiran Presiden Joe Biden akan meningkatkan bekalan vaksin COVID-19 untuk dihantar ke daerah-daerah kepada 13.5 juta dos setiap minggu.

Setiausaha White House, Jen Psaki memaklumkan, jumlah itu adalah peningkatkan sebanyak 57 peratus sejak Biden mengambil alih pimpinan sebulan yang lalu.

Psaki turut menjelaskan, kerajaan akan menggandakan kepada dua juta dos vaksin setiap minggu dan dihantar ke farmasi di seluruh negara.

Ia merupakan sebahagian daripada perancangan program imunisasi yang diperluaskan di kawasan kejiranan.

“Ini adalah peningkatan sebanyak 57 peratus. Jadi sejak itu, pastinya kami ada mengumumkan beberapa pertambahan dari semasa ke semasa.

"Jadi pengumuman hari ini adalah ia akan ditambah kepada dua juta dos kepada farmasi tempatan seluruh negara, jadi orang ramai boleh membuat temu janji untuk mendapatkan suntikan vaksin secara mudah.

“Akhirnya, apabila bekalan ditambah, lebih 40,000 farmasi seluruh negara akan membekalkan vaksin COVID-19 melalui program ini.

"Ini adalah perancangan yang sangat kritikal,” katanya.

Pada masa sama Psaki memaklumkan pihaknya ketika ini sedang memantau keadaan cuaca buruk di negara itu yang dijangka melewatkan penghantarn bekalan vaksin.

Namun, beliau memberi jaminan bahawa pusat kawalan penyakit berjangkit dengan kerjasama beberapa agensi penghantaran akan membantu melancarkan proses penghantaran bekalan.