SEJUMLAH lebih 2.28 bilion dos vaksin COVID-19 sudah didaftarkan atau disuntik di seluruh dunia sehingga Selasa.

Ini merupakan pertambahan puluhan juta dos berbanding hari sebelumnya.

Menurut data Johns Hopkins University, China mendahului dengan 845 juta dos vaksin yang sudah didaftarkan.

Ini diikuti Amerika Syarikat dengan sebanyak 305 juta dos dan India dengan 246 juta dos.

Negara lain yang mencatat jumlah pemberian vaksin melebihi 70 juta dos adalah United Kingdom (UK) dan Brazil.

Sementara itu, Jerman merekodkan 59 juta dos, manakala Perancis dan Itali masing-masing melebihi 42 juta dan 41 juta dos.

Di Asia Tenggara, Indonesia mendahului dengan jumlah dos yang didaftarkan sebanyak 30 juta, jauh meninggalkan negara lain.

Filipina pula berada di tempat kedua dengan 6 juta dos, diikuti Thailand 5 juta dan Singapura 4.3 juta dos.

Malaysia berada di kedudukan kelima negara di Asia Tenggara dengan jumlah dos didaftarkan sebanyak 3.9 juta.