KUALA LUMPUR: Vaksin COVID-19 AstraZeneca yang dikeluarkan di Thailand telah diiktiraf di bawah prosedur Senarai Kegunaan Kecemasan (EUL) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), berkuat kuasa serta-merta.

Syarikat biofarmasetikal AstraZeneca dalam kenyataan hari ini berkata, WHO telah mengiktiraf EUL kepada vaksin COVID-19 keluaran syarikat itu, yang membolehkan vaksin berkenaan diakses di peringkat global semasa pandemik Februari lepas.

Menurut kenyataan itu, pengiktirafan EUL tersebut kini telah diperluaskan termasuk kepada dos yang dikeluarkan oleh rakan pengeluar AstraZeneca di Thailand iaitu Siam Bioscience dan mengiktiraf vaksin COVID-19 AstraZeneca atau Vaxzevria adalah produk yang sama, di mana sahaja vaksin itu dihasilkan.

Presiden AstraZeneca di Malaysia Dr Sanjeev Panchal berkata penyenaraian vaksin itu oleh WHO adalah berita baik untuk rakyat Malaysia dan masyarakat dunia.

"Ia akan meningkatkan keyakinan kerajaan untuk memperakui vaksin tersebut dan membolehkan orang ramai melancong semula, menghubungkan semula keluarga, membuka ekonomi dan menyokong untuk menjadikan keadaan kembali normal," katanya.

Pengarah Kehormat Komunikasi Korporat Siam Bioscience Company Limited Nualphan Lamsam berkata semua kumpulan vaksin COVID-19 AstraZeneca yang dikeluarkan syarikatnya menjalani ujian kualiti yang ketat dan diperakui oleh para pengawal selia dan makmal antarabangsa di Eropah dan Amerika Syarikat.

"Siam Bioscience berbesar hati kerana telah dipilih oleh AstraZeneca sebagai rakan pengeluar tempatan syarikat berkenaan. Kami amat berbangga dan berpuas hati kerana dapat mengeluarkan vaksin COVID-19 yang berkualiti tinggi, yang kini telah diiktiraf WHO.

"Siam Bioscience dan AstraZeneca akan terus bekerjasama erat dan mengeluarkan dos-dos vaksin untuk kesejahteraan penduduk Thailand dan rantau ini, bagi membantu segera kembali kepada situasi normal," katanya.

Pengeluaran vaksin berkenaan di seluruh dunia dilaksanakan menggunakan proses pengeluaran ketat yang sama dan setiap kumpulan melepasi lebih 60 ujian kualiti sebagai sebahagian daripada proses jaminan kualiti global.

Sehingga kini, lebih 1.5 bilion dos vaksin AstraZeneca telah dibekalkan kepada lebih 170 negara dan dianggarkan dua pertiga daripada dos berkenaan telah dihantar ke negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana rendah.

-- BERNAMA