SUHANJAYA Eropah sedang mencari jalan bagi meluluskan suntikan vaksin COVID-19 AstraZeneca versi India atau Covishield di seluruh Eropah.

Bagaimanapun, ia mengulangi dalam kenyataan pada Jumaat, suntikan yang telah diberikan kepada jutaan rakyat Britain itu masih belum dipersetujui Agensi Ubat-Ubatan Eropah (EMA).

Ia juga belum diiktiraf di bawah skim pasport vaksin Kesatuan Eropah (EU) yang membolehkan orang ramai bebas mengembara dalam blok 27 negara itu mulai 1 Julai.

Skim itu menerima salah satu daripada empat vaksin buatan Barat; walaupun AstraZeneca tersenarai, ia tidak termasuk Covishield, vaksin versi India yang dihasilkan Serum Institute of India (SII).

Selain AstraZeneca, vaksin yang diiktiraf EU termasuk yang dihasilkan Moderna, Pfizer-BioNTech dan Johnson & Johnson.

Britain yang tidak lagi menjadi anggota EU mendesak suruhanjaya dan 27 negara blok itu pantas mencari jalan keluar berhubung isu tersebut.

Negara-negara EU bergantung kepada pelancongan, seperti Greece yang menantikan ketibaan pelancong dari Britain.

Jurucakap Perdana Menteri Britain berkata, keutamaan ketika ini adalah bagi memastikan perjalanan selamat dan terbuka.

United Kingdom (UK) akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Eropah untuk saling mengiktiraf sijil atau pasport vaksinasi.

Tambahnya, semua vaksin AstraZeneca yang diberikan di UK adalah sama dan telah menjalani pemeriksaan keselamatan dan kualiti yang ketat.