Walaupun Amerika Syarikat kini membolehkan remaja berusia 16 tahun ke atas untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19, namun pakar menegaskan negara itu berada dalam situasi kompleks.

Ini kerana, menurut pengarah Pusat Kawalan dan Penyakit Berjangkit (CDC), Dr Rochelle Walensky, jumlah pesakit di hospital semakin meningkat.

“Saya ingin mengingatkan bahawa kita masih berada dalam situasa kompleks. Ketika ini lebih ramai orang di Amerika Syarikat diberi suntikan vaksin setiap hari pada kadar yang pantas.

"Namun kes baharu dan kadar kemasukan ke dalam hospital turut meningkat di beberapa kawasan di negara ini, dan kes melibatkan golongan muda yang belum lagi menerima suntikan vaksin juga meningkat," katanya.

Dr Rochelle berkata perkara paling penting yang boleh dilakukan adalah untuk terima suntikan vaksin.

"Saya sangat gembira kerana mereka yang berusia 16 tahun ke atas kini layak terima suntikan vaksin COVID-19.

"Ini merupakan langkah ke hadapan dalam usaha mengakhiri pandemik ini," jelasnya lagi.

Perkembangan ini turut menyusul selepas pihak berkuasa kesihatan memaklumkan lebih 50 peratus orang dewasa di negara itu telah menerima suntikan vaksin.