PANEL Penasihat Persekutuan Amerika Syarikat (AS) mengesyorkan warga emas berusia 75 tahun ke atas dan petugas barisan hadapan seperti bomba, guru dan pekerja kedai runcit sebagai penerima vaksin COVID-19 seterusnya.

Pada masa sama, suntikan vaksin pusingan kedua di hospital juga dimulakan dalam usaha memastikan wabak itu terkawal.

Menurut Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit, dua perkembangan terkini itu menyusul selepas program vaksinasi dimulakan minggu lalu apabila kira-kira 556,000 rakyat AS menerima suntikan tersebut.

Vaksin COVID-19 yang dibangunkan oleh Pfizer Inc dan BioNTech sudah mula diagihkan sementara vaksin Moderna Inc yang mendapat kelulusan minggu lalu, mula dihantar pada Ahad.

Undian panel tersebut pada Ahad mendapati, 13 undi berbalas satu, menetapkan kira-kira 20 juta warga emas berusia 75 tahun ke atas dan 30 juta petugas barisan hadapan perlu menjadi penerima vaksin terawal.

Golongan itu dianggap berisiko tinggi mendapat jangkitan kerana pekerjaan mereka sangat kritikal dan memerlukan mereka berhubungan secara terus dengan orang lain.

Awal bulan ini, Jawatankuasa Penasihat Amalan Imunisasi menegaskan, petugas perubatan dan rumah jagaan yang berjumlah kira-kira 24 juta orang sepatutnya menjadi penerima awal vaksin.