BANGKOK:Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-ocha pada Selasa memberi amaran bahawa kerajaannya akan mendakwa sesiapa sahaja yang berkongsi maklumat palsu tentang vaksin virus korona di media sosial dan media massa.

Reuters melaporkan, kerajaan sedia mengguna pakai undang-undang untuk menjatuhkan hukuman di bawah darurat yang diisytihar pada Mac lalu, untuk menangani sebarang ancaman berkaitan kesihatan.

Amaran Prayuth adalah reaksi kepada kritikan yang menyatakan pentadbirannya tidak banyak bertindak untuk mendapatkan jumlah vaksin yang mencukupi untuk keseluruhan rakyat. Kritikan itu menjadi besar apabila seorang ahli politik mengetengahkan isu tersebut menerusi siaran langsung di internet pada Isnin malam.

Thanathorn Juangroongruangkit, bekas pemimpin parti politik yang sudah dibubar, mendakwa kerajaan Thailand lambat bertindak demi menyelamatkan populasi negara itu.

Parti pimpinan Thanathorn tampil sebagai kumpulan ketiga terbesar dalam keputusan pilihan raya umum Thailand pada tahun 2019. Tidak lama kemudian, dia dilucutkan fungsi di Parlimen selepas mahkamah mendapati dia melanggar undang-undang pilihan raya, malah partinya juga dibubarkan atas sebab yang sama.

Sementara itu, timbul juga dakwaan mengenai syarikat-syarikat tertentu yang meraih keuntungan secara tidak adil daripada kerajaan berkaitan penghasilan vaksin. Tuduhan itu bagaimanapun dinafikan oleh kerajaan Prayuth.

Antara syarikat yang menjadi kontroversi itu dilaporkan mempunyai kaitan secara langsung dengan keluarga diraja.

“Jangan salahkan saya kerana mengancam menggunakan saluran undang-undang. Saya perlu pastikan keyakinan rakyat dan kepercayaan terhadap kerajaan,” ujar Prayuth.

Pegawai kesihatan dalam sebuah sidang media pada Selasa juga mempertahankan usaha untuk memperoleh vaksin.

Ketua Pengarah Jabatan Sains Perubatan, Supakit Sirilak, berkata Kementerian Kesihatan negara itu sedang berusaha untuk mendapatkan bekalan vaksin sejak Februari lalu, namun mengambil masa untuk membuat penilaian.

Tambahnya, kerajaan menyasarkan memiliki vaksin yang mencukupi untuk 50 peratus populasi Thailand menjelang akhir tahun ini, dan akan berusaha mendapatkan lebih banyak bagi keperluan keseluruhan rakyat.