ANKARA: Pfizer dan BioNTech menyatakan vaksin dibangunkannya sekitar 91% berkesan untuk mencegah COVID-19, hasil daripada kemas kini data ujian klinikal dijalankan terhadap sukarelawan yang diberi vaksin selama enam bulan.

Suntikan itu juga menunjukkan tanda-tanda awal pencegahan pada sebahagian kecil sukarelawan di Afrika Selatan di mana varian baharu B.1.351 menular.

Walaupun lebih rendah daripada hasil keberkesanan 95% yang yang dilaporkan daripada percubaan klinikal 44,000 orang pada bulan November, keberkesanan keseluruhan sebanyak 91.3% menunjukkan vaksin menjadi alat yang kuat untuk melawan virus yang sedang menular.

“Data ini menunjukkan kami mempunyai vaksin yang sangat berkesan,” kata professor imunologi di Imperial College, Danny Altmann.

Virus ini kini mempunyai bentuk yang lebih mudah dijangkiti dan ujian makmal serta ujian klinikal menunjukkan ia berjaya melepasi perlindungan antibodi manusia.

Ketua Pegawai Eksekutif Pfizer, Albert Bourla menyatakan keputusan yang dikemas kini merangkumi data lebih daripada 12,000 individu yang divaksin sepenuhnya selama sekurang-kurangnya enam bulan.

ini membuatkan syarikat farmaseutikal itu memohon kelulusan penuh daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA).

Ketua Pegawai Eksekutif BioNTech, Ugur Sahin berkata, data percubaan "memberikan hasil klinikal pertama bahawa vaksin dapat melindungi dengan berkesan terhadap varian yang sedang menular,

Ini katanya faktor penting untuk mencapai kekebalan kelompok dan mengakhiri wabak ini.

Sebelum ini pakar bimbang dengan varian COVID-19 Afrika Selatan dan Brazil yang mungkin tidak dapat ditangani dengan vaksin yang dihasilkan.

Lebih 300 kes varian Afrika Selatan dikesan di lebih 25 negeri Amerika Syarikat.

Seramai 800 sukarelawan di Afrika Selatan telah disuntik vaksin Pfizer dalam kajian terbaharu ini dan terdapat sembilan kes jangkitan virus iaitu dalam kalangan mereka yang disuntik dengan plasebo.

Walaupun varian B.1.1.7 yang berasal dari UK lebih mudah dijangkiti, namun varian B.1.351 lebih membimbangkan kerana terbukti ia mengurangkan keberkesanan tiga vaksin COVID-19 dalam ujian klinikal.