SETIAUSAHA Komuniti United Kingdom (UK) Michael Gove mengakui negara itu berdepan situasi yang sangat membimbangkan disebabkan varian COVID-19 Omicron terus merebak pada kadar yang tinggi.

Perkara ini dimaklumkan selepas taklimat peringkat tertinggi mengenai COVID-19 pada Jumaat.

"Kita sedang berdepan situasi yang sangat membimbangkan.

"Mesyuarat kabinet yang baru sahaja saya pengerusikan bersama menteri-menteri telah dimaklumkan mengenai beberapa maklumat baharu yang sangat mencabar.

"Kita tahu bahawa kita merekodkan jumlah jangkitan COVID tertinggi di seluruh United Kingdom hari ini sejak 9 Jan lalu," katanya.

Beliau menambah, varian Omicron meningkat dua kali ganda setiap dua hingga tiga hari di England dan mungkin lebih cepat di Scotland.

Gove berkata 30 peratus kes koronavirus di London adalah daripada Omicron, walaupun varian itu baru dikenal pasti di UK dua minggu lalu.

Walaupun peningkatan dalam kes Omicron, Gove berkata pihaknya menyedari kepentingan mengimbangi keupayaan orang ramai untuk meneruskan kehidupan mereka dengan keperluan untuk melindungi mereka daripada virus itu.

Dan apabila data baharu dikumpul, pihaknya akan mempertimbangkan tindakan susulan selanjutnya.

Beliau juga berkata, terdapat bukti bahawa Omicron menyebabkan lebih banyak kemasukan ke hospital dalam kalangan mereka yang telah divaksin sepenuhnya berbanding dengan varian sebelumnya.