Victoria umum penutupan operasi perniagaan

Menurut Ketua Menterinya, Daniel Andrews langkah itu dijangka menjejaskan hampir 250,000 pekerja.

Pengumuman itu susulan pengisytiharan penularan di bandar kedua terbesar Australia itu sebagai darurat pada Ahad sehingga terpaksa memperkenalkan perintah berkurung pada waktu malam. - Foto: Reuters | Astro Awani
WILAYAH Victoria di Australia akan melaksanakan langkah penutupan operasi perniagaan tidak penting di beberapa kawasan panas COVID-19 bermula Rabu malam.

Menurut Ketua Menterinya, Daniel Andrews langkah itu dijangka menjejaskan hampir 250,000 pekerja.

“Walaupun sukar, kami terpaksa menutup (sementara) sektor pekerjaan dan saya tidak pernah menyangka akan mengarahkan orang ramai untuk tidak pergi bekerja.

“Namun itu yang harus kita lakukan untuk menghentikan penyebaran COVID-19. Tempoh enam minggu ini sangat kritikal.

“Kita harus membuat keputusan, keputusan yang sangat sukar tetapi kita harus bertindak dengan melakukan apa sahaja bagi menurunkan jumlah kes ini,” jelasnya.

Pengumuman itu susulan pengisytiharan penularan di bandar kedua terbesar Australia itu sebagai darurat pada Ahad sehingga terpaksa memperkenalkan perintah berkurung pada waktu malam.

Pada Isnin 429 kes baharu COVID-19 dilaporkan di Victoria dengan 13 lagi kematian dalam tempoh 24 jam terakhir.