Skip to main content
Advertisement

Dunia

Wabak Ebola di DR Congo masih tidak terkawal - WHO

[TB]_Congo's Ebola surveillance teams_REUTERS
Penularan virus itu kini beralih ke kawasan baharu dan merebak ke arah sempadan antarabangsa. - Gambar fail/Reuters
Advertisement

KINSHASA: Wabak Ebola di Republik Demokratik Congo (DRC) kekal tidak terkawal walaupun terdapat penurunan secara sederhana dalam kes jangkitan di seluruh negara, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lapor Xinhua.

Penularan virus itu kini beralih ke kawasan baharu dan merebak ke arah sempadan antarabangsa.

Negara berkenaan merekodkan 7,733 kes disahkan, termasuk 3,732 kematian setakat Ahad, menurut Pejabat Wilayah WHO bagi Afrika.

“Wabak ini kekal tidak terkawal dan semakin tersebar secara geografi,” kata WHO, sambil memberi amaran bahawa penularan itu menambah tekanan ke atas sumber tindak balas yang semakin terhad.

Penularan terbaharu dilaporkan di zon kesihatan Dungu di Wilayah Haut-Uele, yang bersempadan dengan Sudan Selatan.

WHO berkata perkembangan itu meningkatkan potensi penularan merentas sempadan.

Wabak berkenaan kini menjejaskan 63 zon kesihatan di tujuh wilayah.

Tekanan ke atas kemudahan rawatan kekal kritikal di Wilayah Kivu Utara, dengan kadar penggunaan kemudahan rawatan khusus Ebola mencapai 91.2 peratus, manakala 34.2 peratus pesakit dalam wad dirawat di luar kemudahan khusus.

Kematian dalam kalangan komuniti turut kekal sebagai perhatian utama. Hampir dua pertiga daripada kematian yang disahkan pada minggu lepas berlaku di luar kemudahan rawatan, sekali gus mencerminkan kelewatan berterusan dalam pengesanan, rujukan dan akses kepada rawatan, menurut WHO.

Agensi itu terus menilai risiko penularan lanjut di dalam DRC pada tahap "sangat tinggi", manakala risiko ke atas negara jiran yang berkongsi sempadan darat dengan DRC pada tahap "tinggi".

Wabak yang diisytiharkan pada Mei itu menjadi wabak Ebola terbesar dan paling mematikan yang pernah direkodkan di DRC, serta kedua terbesar di peringkat global selepas epidemik di Afrika Barat dari 2014 hingga 2016.

-- BERNAMA-XINHUA 

 

 

Must Watch Video

Advertisement