Skip to main content

Dunia

Wabak hantavirus: Cape Verde rancang pemindahan udara dari kapal persiaran

Cruise ship MV Hondius docks off Cape Verde port, as passengers were not allowed off the ship, while health authorities investigated suspected cases of hantavirus aboard the vessel, in Praia Port, Cape Verde, May 4, 2026. Picture taken with a mobile phone. REUTERS/Stringer
Kapal itu membawa 147 orang termasuk penumpang dan anak kapal, dengan tiga daripadanya menunjukkan gejala ringan. - Gambar/ Reuters

PRAIA: Pihak berkuasa kesihatan Cape Verde pada Isnin memaklumkan bahawa mereka sedang membuat persiapan bagi melaksanakan pemindahan secara udara untuk pesakit dari kapal persiaran Belanda Hondius, yang masih berada di luar pesisir Pelabuhan Praia selepas wabak penyakit pernafasan dikesan semasa pelayarannya, lapor Xinhua.

Dalam sidang media, Pengarah Kesihatan Kebangsaan Cape Verde Angela Gomes berkata kapal itu tidak dibenarkan berlabuh sebagai langkah berjaga-jaga dan selaras dengan Peraturan Kesihatan Antarabangsa bagi melindungi kesihatan awam.

Menurut Gomes, kapal itu membawa 147 orang termasuk penumpang dan anak kapal, dengan tiga daripadanya menunjukkan gejala ringan.

Beliau berkata mereka berada dalam keadaan klinikal yang stabil, di bawah pemantauan perubatan berterusan di atas kapal dan tidak memerlukan kemasukan ke hospital buat masa ini.

Gomes berkata sampel biologi telah diambil dan sedang dianalisis, termasuk di makmal antarabangsa, bagi mengenal pasti punca wabak itu.

Operasi pemindahan itu sedang diselaraskan dengan United Kingdom dan Belanda, dengan Cape Verde menunggu ketibaan ambulans udara untuk mengangkut pesakit, katanya.

Beliau menambah bahawa keadaan adalah terkawal dan tidak mendatangkan risiko kepada penduduk, manakala kapal itu akan terus berada di bawah pengawasan pihak berkuasa Cape Verde sehingga proses pemindahan dan siasatan selesai.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Cape Verde memaklumkan kapal itu memasuki perairan negara itu pada Ahad lepas selepas pihak berkuasa kesihatan antarabangsa memaklumkan mengenai wabak yang melibatkan kes serius dan kematian.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

Must Watch Video