SHAH ALAM: Keahlian wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyatakan sokongan terhadap pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tergugur dan perlu mengosongkan kerusi kawasan masing-masing.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, mereka yang terdiri daripada enam ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak perlu menunggu surat pemecatan, sebaliknya keahlian tergugur selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) meluluskan usul pindaan Perlembagaan parti berkenaan.

Menurutnya, pada Perhimpunan Agung Khas (EGM) Bersatu pada 2 Mac lalu, pindaan Perlembagaan berkenaan diluluskan menyebabkan mereka yang berpaling tadah itu tidak perlu menunggu notis pemecatan.

"Parti hanya akan menghantar surat pemakluman berserta notis kelulusan pindaan Perlembagaan parti seperti diluluskan RoS.

"Mereka ini tidak perlu menunggu surat daripada parti, tetapi sekiranya mereka anak jantan, lepaskan jawatan dan umum kosongkan kerusi," katanya pada Jumaat.

Razali yang merupakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti berkenaan turut mengulas mengenai enam wakil rakyat yang bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu mengesahkan belum menerima sebarang notis susulan sokongan kepada Anwar.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dilaporkan, pihaknya masih belum menerima apa-apa notis selepas RoS meluluskan pindaan Perlembagaan.

Selain Syed Abu Hussin Hafiz, lima lagi Ahli Parlimen yang mengisytiharkan penyokong Anwar adalah Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Zulkafperi Hanapi; Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman.

ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari turut mengumumkan memberi sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada Mac lalu.

Mengulas lanjut, Razali meminta mereka yang berpaling tadah itu mengumumkan kekosongan kerusi bagi membolehkan pilihan raya kecil (PRK) diadakan.

“Jangan jadikan alasan menunggu notis daripada parti untuk membuat keputusan,” ucapnya ringkas. -Sinar Harian