MADRID:Seorang wanita berusia 85 tahun yang sebelum ini dikatakan sudah meninggal dunia akibat COVID-19 mengejutkan ahli keluarga dan sanak saudaranya apabila dia kembali semula ke rumah jagaan orang tua yang didiaminya, lapor Reuters.

Khabar itu sangat tidak disangka, memandangkan seluruh ahli keluarga Rogelia Blanco telahpun difahamkan bahawa wanita itu telah selamat dikebumi.

Mereka telah diberitahu pihak hospital bahawa wanita itu meninggal dunia akibat COVID-19 pada 13 Januari lalu dan dikebumi pada keesokan harinya, lapor akhbar tempatan La Voz de Galicia. Disebabkan protokol yang ditetapkan pemerintah, mereka semua tidak boleh menghadiri upacara pengebumian itu.

Namun, semua salah faham itu terjadi akibat kesilapan pada daftar nama pesakit.

Kekecohan tercetus apabila Rogelia yang sudah sihat kembali mengetuk pintu rumah jagaan warga emas di Xove, utara Sepanyol, yang juga menjadi tempat istirahat suaminya, Ramon Blanco.

Ramon dilaporkan sangat teruja melihat isterinya kembali, mujur tanpa sebarang episod kejutan melampau yang menjejaskan kesihatan dirinya!

“Sukar untuk saya percaya semua ini. Puas saya menangis atas ‘kehilangan’ isteri saya,” ujar Ramon yang akhirnya mendapat tahu bahawa rakan sebilik Rogelia yang sebenarnya telah meninggal dunia.

Yayasan San Rosendo, yang menguruskan rumah jagaan itu menjelaskan, salah faham itu terjadi apabila Rogelia dan seorang lagi residen yang disahkan positif COVID-19 dipindahkan ke pusat rawatan lain pada akhir Disember lalu.

"Dua wanita itu tinggal sebilik sewaktu menerima rawatan, dan salah seorang daripadanya telah menghembuskan nafas terakhir. Namun, kesilapan proses pendaftaran sewaktu pemindahan itu yang menyebabkan pertukaran identiti,” jelas wakil yayasan itu.

Yayasan itu memohon maaf dan kesal atas kesilapan tersebut, serta menyifatkan insiden itu suatu yang tidak pernah terjadi.

Setelah insiden berkenaan, pihak mahkamah sudah dimaklumkan tentang perkara itu dan pengisytiharan kematian Rogelia diperbetulkan semula.