Skip to main content

Malaysia

Operasi AKPS tidak terjejas susulan status Ketua Pengarah - Saifuddin Nasution

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berucap pada Perasmian Program MADANI Kita (PMK) dan Majlis Penyerahan Kampung Angkat MADANI (KAM) dan Sekolah Angkat MADANI (SAM) Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Tahun 2026 di Arena Square, Kampung Sungai Tiram Lekir, Sitiawan hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berucap pada Perasmian Program MADANI Kita (PMK) dan Majlis Penyerahan Kampung Angkat MADANI (KAM) dan Sekolah Angkat MADANI (SAM) Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Tahun 2026 di Arena Square, Kampung Sungai Tiram Lekir, Sitiawan hari ini. - Foto BERNAMA
Advertisement

LUMUT: Operasi Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di seluruh negara berjalan seperti biasa dan tidak terjejas susulan keputusan mengembalikan Ketua Pengarahnya ke organisasi asal, iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata memandangkan pegawai berkenaan berstatus pinjaman daripada pasukan polis, urusan pentadbiran selanjutnya diserahkan kepada agensi berkaitan sementara pelantikan pengganti belum dibuat ketika ini.

“Kita belum sampai ke tahap itu (melantik Ketua Pengarah AKPS) lagi, biar selesai satu-satu dulu. Tetapi, saya beri jaminan operasi AKPS tidak terjejas kerana agensi itu penting.

Advertisement

“Jadi, tidak boleh kerana Ketua Pengarahnya terlibat (pertukaran), seluruh organisasi itu terhenti. Tidak boleh macam itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program MADANI Kita (PMK) serta Majlis Penyerahan Kampung Angkat MADANI (KAM) dan Sekolah Angkat MADANI (SAM) Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Tahun 2026 di Kampung Sungai Tiram, dekat sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berkenaan status Ketua Pengarah AKPS setakat ini dan jangkaan masa jawatan itu akan diisi.

Advertisement

Beliau berkata Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Dr Awang Alik Jeman telah diarahkan supaya memberikan perhatian khusus terhadap pengurusan agensi itu, manakala sebarang proses mahkamah dibiarkan berjalan mengikut lunas undang-undang.

Saifuddin Nasution berkata laporan lapangan membuktikan bahawa kecekapan anggota AKPS kekal utuh apabila berjaya mematahkan beberapa cubaan penyeludupan, termasuk menahan sepasang individu yang cuba membawa sejumlah wang tunai yang besar di laluan ke Singapura, baru-baru ini.

Pada 29 Okt lepas, KDN memutuskan bahawa Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain kembali bertugas dengan PDRM.

Mohd Shuhaily dilantik sebagai Ketua Pengarah AKPS bagi tempoh dua tahun dari 1 Julai 2025 hingga 30 Jun 2027.

Pada 21 Okt, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 Sept.

Sementara itu, berkaitan program hari ini, Saifuddin Nasution berkata kerajaan memperuntukkan sebanyak RM500,000 bagi kerja penambahbaikan empat lokasi di bawah KAM serta RM100,000 untuk satu sekolah di bawah SAM, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM600,000.

Empat lokasi KAM terlibat merangkumi Masjid Al-Ismailiah bagi pembinaan dewan memasak, stor penyimpanan dan laluan berbumbung; Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) Al-Hidayah (pembaikan bangunan serta penggantian pagar); Surau Haji Lot (naik taraf balai lintang, dewan memasak dan ruang solat muslimat); serta Surau Parit Haji Dollah (pemasangan susur tangan, sistem pembesar suara, permaidani baharu dan lampu solar).

Selain itu, Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiram menerima peruntukan SAM bagi kerja mengecat, penggantian talang air dan penyelenggaraan bangunan empat tingkat, di samping pemuliharaan bangunan sekolah papan warisan termasuk rawatan anai-anai demi keselesaan warga sekolah.

“Kami ada 11 agensi, setiap satu agensi jayakan satu program, dan perkara ini sudah berjalan tahun yang ketiga, maknanya kami dah sampai paling kurang 33 kampung dengan peruntukan antara RM500,000 hingga RM1 juta. Yang baiknya ialah setiap projek yang kami buat, tidak ada satu pun yang terbengkalai," katanya.

PMK yang menghimpunkan kira-kira 2,000 peserta itu turut diisi dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan kerohanian termasuk solat Subuh berjemaah, tazkirah, Ziarah Kasih RELA ke dua rumah penduduk kurang berkemampuan, serta perkhidmatan percuma seperti gunting rambut, pertukaran minyak enjin motosikal, Jualan Rahmah dan Jualan Agro MADANI.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement