Skip to main content

Malaysia

Keterjaminan makanan keutamaan pembangunan negara - Fadillah

Fadillah berkata, perkembangan global menunjukkan betapa mudahnya rantaian bekalan makanan terjejas akibat gangguan luaran, peningkatan kos pengeluaran dan cabaran berkaitan perubahan iklim. - Bernama
Fadillah berkata, perkembangan global menunjukkan betapa mudahnya rantaian bekalan makanan terjejas akibat gangguan luaran, peningkatan kos pengeluaran dan cabaran berkaitan perubahan iklim. - Bernama
Advertisement

KUCHING: Keterjaminan makanan bukan sekadar isu pertanian, sebaliknya menjadi keutamaan pembangunan negara yang berkait rapat dengan kesejahteraan isi rumah, daya tahan ekonomi dan kestabilan masyarakat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata perkembangan global menunjukkan betapa mudahnya rantaian bekalan makanan terjejas akibat gangguan luaran, peningkatan kos pengeluaran dan cabaran berkaitan perubahan iklim.

“Justeru, kita perlu terus memperkukuh pengeluaran makanan domestik di samping membangunkan sistem makanan yang lebih berdaya tahan dan mampan.

Advertisement

“Di Sarawak, kita dikurniakan dengan potensi yang besar dari segi sumber tanah, kepelbagaian pertanian, kekayaan biodiversiti serta pengetahuan masyarakat tempatan. Tanggungjawab kita adalah untuk memastikan segala kelebihan ini diterjemahkan kepada peluang produktif dan sumber pendapatan yang mampan,” katanya.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata demikian ketika berucap pada program Peningkatan Impak Menerusi Pemerkasaan Mampan (RISE) 2026 di sini hari ini.

Advertisement

Beliau berkata inisiatif keterjaminan makanan yang diterajui masyarakat amat bernilai kerana usaha itu bukan sahaja memupuk minat menanam tanaman, malah turut menggalakkan perkongsian ilmu, kerjasama, sikap berdikari dan rasa tanggungjawab, serta pemilikan yang lebih tinggi dalam kalangan masyarakat.

“Apabila masyarakat mempelajari cara menghasilkan, mengurus dan mengekalkan sumber makanan sendiri, mereka bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan hidup dalam jangka masa terdekat, malah membina daya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan pada masa hadapan,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement