IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Deepavali peringkat negeri di Stadium Indera Mulia, di sini, hari ini.
Turut berangkat Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Keberangkatan tiba baginda kira-kira 2.30 petang disambut Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad serta Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri, A. Sivanesan.
Majlis anjuran kerajaan negeri itu dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 15,000 pengunjung pelbagai kaum.
Pada majlis itu, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan sumbangan duit raya kepada 69 anak yatim dari enam pusat jagaan dan pertubuhan kebajikan.
Saarani dalam sembah ucapannya berkata, walau sehebat mana pun pencapaian akal dan setinggi mana pun kemajuan peradaban, manusia tetap memerlukan kasih untuk menyantuni, ihsan untuk memahami dan kebijaksanaan untuk menghargai.
"Kemajuan mampu mengubah wajah dunia tetapi keluhuran budi yang memahat wajah kemanusiaan," katanya.
Beliau berkata, sejarah Perak sendiri memperlihatkan bagaimana masyarakat daripada pelbagai keturunan telah bersama-sama menyumbang tenaga, usaha dan kebijaksanaan dalam membina kemakmuran negeri ini.
Saarani berkata, sejarah itu tidak akan lengkap tanpa kisah generasi awal masyarakat India yang membuka ladang, membina landasan kereta api, jalan raya dan pelabuhan dengan keringat dan kepayahan.
"Warisan masyarakat India di Perak turut terpahat dalam bidang pendidikan, kebudayaan dan keagamaan. Kewujudan 134 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, jumlah tertinggi di seluruh negara mencerminkan sejarah panjang usaha memperkasakan pendidikan kepada generasi muda,” katanya.
Beliau berkata, rumah ibadat yang wujud sejak sekian lama juga menjadi sebahagian daripada khazanah sejarah dan kepelbagaian budaya yang memperkayakan identiti negeri tersebut.
-- BERNAMA